Sony A6700 terima naik taraf besar, warisi ciri FX30 dan ZV-E1

Digital
14 Jul 2023 • 4:27 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Sony telah mengemas kini penawaran kamera digital dalam siri A6000 mereka dengan pelancaran model baharu Sony A6700. Ia boleh dikatakan sekuel kepada A6600 yang dilancarkan dalam tahun 2019 dulu dan iterasi kali ini bawakan naik taraf yang sangat menarik berbanding generasi sebelumnya.

Ia seperti mengambil insipirasi daripada kamera siri Cinema mereka Sony FX30 tapi dipakejkan dalam badan kompak. Oleh sebab fizikalitinya yang kompak, beberapa kompromi perlu dilakukan untuk beroleh spesifikasi seakan FX30 tadi. Antaranya adalah A6700 tampil dengan satu slot kad SD, port mini-HDMI, dan butang fizikal yang lebih rendah kuantiti.

image is not available

Salah satu naik taraf yang dialu-alukan berbanding A6600 lalu adalah kawasan grip tangan kini lebih dalam untuk jadikannya selesa digenggam. Ia kini ada butang pemilih mode. Untuk pertama kalinya dalam siri A, skrin A6700 boleh dikilas sepenuhnya dalam pelbagai arah.

image is not available

Viewfinder kamera ini juga ditambah baik. Ia menggunkan panel OLED dengan resolusi 2.36M dan berkecerahan sama seperti Sony A7R IV.

image is not available

Di bahagian teras, kamera ini diperkasa sensor 26MP BSI Exmore R CMOS yang dipadankan dengan cip pemproses BIONZ XR, cip yang sama diguna pakai oleh A7R IV. Cip yang lebih berkuasa buatkan keupayaan tangkapan selanjarnya lebih baik berbanding sebelumnya. Tangkapan selanjar dalam format RAW+JPEG boleh mencecah 11 bingkai sesaat manakala dalam format RAW sahaja boleh mencapai 59 bingkai sesaat. Untuk merakam, kamera ini boleh merekodkan video pada resolusi sehingga 4K 120p dengan sedikit crop masuk.

image is not available

Sony turut memasukkan teknologi AI daripada ZV-E1 ke dalam A6700. Contohnya, ia ada fungsi Auto-Framing dan Eye AF untuk pengalaman guna yang lebih baik. Sistem autofokusnya terdiri daripada 759 titik pengesanan fasa yang mampu mengesan subjek manusia, haiwan/burung, serangga, kereta/keretapi, dan kapal terbang.

Sony A6700 dijual dalam pasaran A.S pada harga USD1,398 (~RM6,330). Ia juga dijual dalam bentuk kombo pada harga seperti berikut:

  • PZ 16-50mm F3.5-5.6 OSS – USD1,498 (RM6,782)
  • PZ 18-135mm F3.5-5.6 OSS – USD1,798 (RM8,141)

Harga untuk pasaran Malaysia masih belum ada. Untuk perbandingan, Sony A6600 yang dilancarkan dalam tahun 2019 dijual pada harga RM6,199. Anda boleh layari laman rasmi produk untuk maklumat lanjut.