Sony Dilaporkan Mengurangkan Penawaran Peranti Xperia Di Pasaran Eropah

TechnologyDigital
15 Jul 2025 • 11:23 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Sony dilaporkan sedang mengecilkan operasi telefon pintar Xperia di Eropah berikutan permintaan yang semakin berkurang serta isu teknikal yang menjejaskan pelancaran model mercu terbaharu mereka Xperia 1 VII. Langkah ini termasuk penarikan sepenuhnya dari pasaran Finland dan kemungkinan pengunduran dari beberapa negara lain di rantau tersebut.

image is not available

Model Xperia 1 VII ditangguhkan jualannya secara global selepas ramai pengguna melaporkan masalah seperti peranti terpadam sendiri, kegagalan sistem untuk dihidupkan, serta gangguan sistem yang tidak diketahui puncanya. Sony turut mengesahkan bahawa telefon pintar mereka di Eropah hanya akan dijual melalui kedai dalam talian rasmi dan Amazon, manakala pengedar tempatan tidak lagi dibenarkan menjual peranti tersebut.

Menurut laporan, Sony hanya memiliki sekitar 3.5% pegangan pasaran global pada suku pertama tahun 2024, jauh ketinggalan berbanding jenama besar seperti Samsung dan Apple. Di Jepun pula, jualan telefon pintar Sony dilaporkan merosot sebanyak 40% pada tahun 2023, dan sejak itu tiada angka rasmi diterbitkan. Tambahan pula, terdapat spekulasi bahawa Sony telah menghentikan pengeluaran telefon pintar secara dalaman dan memilih untuk menyerahkan proses pengeluaran kepada syarikat pihak ketiga.

image is not available
Gambar sekadar hiasan

Walau bagaimanapun, Sony menegaskan bahawa mereka akan terus memenuhi semua keperluan jaminan dan kemas kini perisian untuk pengguna sedia ada. Sony turut menyatakan bahawa analisis terhadap permintaan dan keuntungan pasaran akan terus dijalankan bagi menentukan keberkesanan jualan telefon Xperia di sesuatu wilayah. Buat masa ini, Sony belum mengesahkan secara rasmi desas-desus mengenai pengundurannya dari pasaran Eropah.