Sony Group meraikan ulang tahun ke‑80 dengan menyorot perjalanan sejarahnya, evolusi perniagaan, dan visi masa depan sebagai syarikat hiburan kreatif. Syarikat gergasi elektronik, hiburan, permainan video dan fotografi ini ditubuhkan pada 7 Mei 1946 pada asalnya menggunakan nama Tokyo Tsushin Kogyo K.K di Tokyo.

Tokyo Tsushin Kogyo K.K ialah sebuah kedai menjual barangan elektronik di dalam sebuah gedung membeli belah. Produk pertama yang dikeluarkan oleh syarikat ini ialah periuk nasi sebelum pada tahun 1955 ia menjual radio transistor pertama Jepun iaitu TR-55. Nama syarikat semakin dikenali tetapi pada tahun 1958, ia ditukar menjadi Sony.
Nama Sony mengambil inspirasi daripada perkataan Sonus bermaksud “bunyi” dalam Bahasa Latin dan Sonny, nama panggilan untuk budak lelaki yang digunakan oleh askar Amerika yang menduduki Jepun selepas tamat Perang Dunia Kedua. Penggunaan nama Sony adalah unik pada tahun 1958 kerana syarikat Jepun pada waktu tersebut tidak menggunakan ejaan abjad roman.

Sepanjang tempoh 80 tahun penubuhan, Sony terlibat dalam pelbagai inovasi seperti pembangunan Walkman, cakera padat (bersama Philip), mesin perakam video, pita Betamax, sensor kamera digital, alatan audio visual dan konsol PlayStation.
Sempena ulang tahun ke-80 syarikat, Sony akan mengemaskini sejarah syarikat yang kali terakhir dilakukan semasa menyambut ulang tahun yang ke-50. Pameran “100.80.60. Exhibition” kini berlangsung Ginza Sony Park (24 April – 31 Mei 2026) bagi meraikan 100 tahun perubahan di Ginza, 80 tahun Sony dan 60 tahun Sony Building. Sejarah lengkap Sony juga boleh diakses menerusi laman Sony dengan ia dikemaskini setiap minggu.
