
Baru-baru ini, Sony dilaporkan telah dianugerahkan sebuah paten baru untuk membolehkan pengguna membayar sebarang pembelian ataupun langganan perkhidmatan pada platform PlayStation menggunakan pengimbas nirsentuh yang dimuatkan didalam alat kawalan permainan PlayStation DualSense yang dinamakan Video Game Controller-Driven Information Transfer.
Dengan teknologi ini, Sony mengatakan bahawa mereka yang menggunakan alat kawalan sebagai terminal pembayaran digital menggunakan kad debit, kad kredit ataupun kad mata permainan yang boleh dibeli di kedai-kedai permainan dan serbaguna yang menjualnya.

Apabila permintaan pembayaran diberikan, pengguna kelak boleh tap sahaja kad-kad pembayaran mereka pada “terminal” tersebut dan membayar untuk permainan ataupun langganan seperti PlayStation Plus dengan cepat dan mudah, tanpa perlu memasukkan butiran pembayaran mereka kepada platform pengguna PlayStation.
Teknologi ini dilihat dapat membantu mengurangkan isu ketirisan data pengguna yang penting seperti butiran pembayaran kad kredit ataupun debit kerana Sony tidak perlu lagi meminta butiran tersebut dari pengguna untuk membuat sebarang pembayaran digital.

Menariknya, selain daripada kad kredit, debit dan juga kad-kad hadiah yang boleh dibeli, terminal pembayaran ini juga boleh membaca bayaran melalui peranti pintar, yang bermakna bahawa teknologi-teknologi pembayaran nirsentuh seperti Apple Pay, Google Pay, Samsung Pay dan sebagainya juga boleh disokong.
Secara teknikalnya, paten ini telah difailkan oleh Sony sejak Mac 2025, tetapi ia hanya telah dianugerahkan baru-baru ini, dimana kelak, mungkin apabila konsol PlayStation 6 diperkenalkan di masa akan datang, alat kawalan DualSense terbaru akan hadir dengan fungsi pembayaran ini.
Sumber: Video Games Chronicles




