Sony Semiconductor dan TSMC baru sahaja mengumumkan kerjasama untuk memperkenalkan sensor pengimejan baharu untuk syarikat teknologi Jepun tersebut. Menurut kenyataan yang dikeluarkan Sony, kerjasama ini akan menggabungkan kepakaran Sony sebagai pereka komponen sensor pengimejan dan juga TSMC sebagai pakar teknologi proses penghasilan dan pengeluar cip semikonduktor terkemuka.
Dengan kerjasama ini, Sony dilihat akan mula merekacipta dan menghasilkan komponen sensor pengimejan CMOS baharu dengan bantuan proses teknologi TSMC di kilang terbaru Sony yang terletak di bandar Koshi di wilayah Kumamoto. Dengan kerjasama ini juga, kedua-dua syarikat akan membincangkan tentang penaiktarafan kilang teknologi pengimejan mereka di Nagasaki, bergantung kepada permintaan pasaran untuk komponen sensor pengimejan Sony.

Kerjasama ini juga dijangka akan meneroka peluang baru yang akan muncul dalam aplikasi AI fizikal, khususnya dalam industri automotif dan robotik. Ini akan membuka jalan untuk inovasi masa hadapan dan memperluaskan lagi kemajuan teknologi.
Setakat ini, ia tidak diumumkan lagi bilakah kilang bandar Koshi tersebut akan mula beroperasi, dan apakah jenis teknologi cip semikonduktor yang akan “dipinjam” kepada pihak Sony untuk membina sensor-sensor pengimejan ini.
