Sorok 180 Tan Metrik Beras Putih Tempatan, Kilang Beras Di Kedah Disita

10 Oct 2023 • 4:00 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Sebuah kilang beras di Kedah disita, selepas disyaki menyorok beras putih tempatan berjumlah 180 tan metrik dianggarkan bernilai RM405,000, menerusi Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) yang dijalankan semalam.

Bongkar kilang sorok beras

Menerusi perkongsian Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin menerusi media sosial rasminya, Task Force Khas Bersepadu Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) yang diketuai oleh YB Timbalan Menteri sendiri bersama Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin serta Pemeriksaan (MAQIS) telah berjaya membongkar dengan menyita sebuah kilang disyaki menyorok beras putih tempatan dalam gudang simpanan yang tidak dinyatakan dalam lesen.

Kilang beras di Kedah sorok beras putih

Hasil pemeriksaan lanjut oleh pasukan Task Force khas OP BPT yang dibuat sewaktu sitaan semalam telah mendapati beras bergred Super Spesial Tempatan 5% (SST5) atau beras putih tempatan (BPT) di dalam kampit jumbo berjumlah 180 tan metrik disorok di gudang yang tidak dinyatakan dalam lesen.

Pasukan Task Force khas OP BPT Mengesyaki kilang tersebut telah melakukan kesalahan menyimpan stok beras tanpa lesen dan bertindak menyita BPT yang berada di dalam gudang tersebut dengan hasil sitaan dianggarkan bernilai RM405,000.

“Di sini saya ingin memberi amaran keras kepada mana-mana pihak supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan. KPKM dan anggota-anggota Task Force akan bertindak tegas terhadap sesiapa (individu atau syarikat) yang didapati melanggar peraturan sedia ada.

“Jangan mengambil kesempatan kerana ini masanya kita berganding bahu untuk menjamin kecukupan bekalan makanan yang berpatutan untuk rakyat, bukannya menekan pengguna atau pesawah demi mengaut keuntungan yang lebih,” kata Chan.

image is not available

Kes ini akan disiasat di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (pelesenan Kilang-Kilang Padi) 1996 P.U (A) 626. Sekiranya didapati bersalah, kilang padi tersebut boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM25,000 bagi kesalahan pertama dan Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras melalui notis secara bertulis boleh membatalkan atau menggantung lesen.