

KLANG - Lima individu diberkas dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan diesel menerusi serbuan di sebuah kapal tongkang melibatkan rampasan bernilai RM738,500 di kawasan paya bakau berhampiran Pantai Aceh, Pulau Indah di sini pada Selasa.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, serbuan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum diserahkan kepada pihaknya.
Menurutnya, dipercayai wujud aktiviti pemindahan barang kawalan bersubsidi bahan api jenis diesel di lokasi serbuan.
**media[1902232]**
"Hasil serbuan menemui sebuah kapal tongkang yang berada berdekatan dengan kawasan paya bakau dan dalam proses untuk memindahkan diesel.
"Kapal tongkang berkenaan dipercayai digunakan untuk menyimpan diesel bersubsidi dan dijual kepada kapal-kapal lain yang berada di sekitar pantai dan paya bakau tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya, pemeriksaan mendapati kapal tongkang tersebut dijadikan tempat simpanan diesel bersubsidi tanpa dokumen yang sah.
"Turut ditahan melibatkan lima individu terdiri empat lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Bangladesh berumur antara 22 hingga 63 tahun.
"Antara yang dirampas melibatkan sebuah lori tangki, kereta, sebuah kapal tongkang, bahan api disyaki diesel dengan jumlah keseluruhan anggaran 70,000 liter melibatkan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM738,500," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
