
HANYA merendam kaki atau berumpankan makanan ikan yang digenggam pada tapak tangan, kehadiran ratusan ikan pelian menggigit ‘manja’ menjadi faktor tarikan pengunjung untuk terus mengunjungi destinasi pelancongan ini tanpa jemu.
Bagi anak-anak atau pengunjung dewasa yang pertama kali merasainya, pasti menjerit-jerit dengan situasi sebegini, ibarat takut tetapi sangat menyeronokkan.
Eko Pelancongan Ikan Jinak Kampung Malangkap Tiong, terletak kira-kira 80 kilometer dari bandar raya Kota Kinabalu itu turut memberi peluang kepada penulis serta pengunjung lain menikmati sendiri ‘urutan spa’ apabila dikerumuni ikan pelian berukuran sebesar lengan berebut menggigit manja kaki sebaik saja direndam di sungai.
Bagi yang mencari lokasi riadah dan mendapatkan suasana ‘santai’ tanpa bunyi kesibukkan kota, lokasi menarik di daerah ini pastinya tidak akan mengecewakan.
SPONSORED CONTENT Sabah revenue hits RM6.97 billion: Hajiji says GRS State Government may see full term Kota Kinabalu: The Sabah Government continued its momentum in managing the economy in line with the commitment and spirit of the Sabah Maju Jaya (SMJ) when it posted record high state revenue of RM6.973 billion last year. Read more Bermula di Pekan Kota Belud atau simpang Jalan Tamparuli - Ranau, pengunjung tidak perlu risau kerana kenderaan rendah juga selesa dinaiki untuk melalui sepanjang laluan berturap sambil menikmati pemandangan Gunung Kinabalu.
Berhiaskan persekitaran flora dan fauna, destinasi ini juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik namun keutamaannya adalah menyaksikan ikan jinak hasil daripada kaedah sistem tagal.
Malah selain bermain dengan ikan jinak, pengunjung dibenarkan menjalankan aktiviti keluarga seperti barbeku (BBQ), berkhemah dan sebagainya di bawah pemantauan petugas.
Namun di sebalik pengalaman berkenaan, penulis dimaklumkan terdapat satu sistem yang menyokong supaya hidupan air tawar ini boleh didekati dengan mudah.
Aktiviti berkhemah juga menjadi tarikan pengunjung selain ikan jinak.
PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang memberi makanan kepada hidupan air tawar di sungai Eko Pelancongan Ikan Jinak Kampung Malangkap Tiong, Kota Belud.
Sistem tagal atau dalam bahasa Dusun yang dikenali bombon bermaksud ‘jangan/tidak/larangan’ bukan sahaja dikuatkuasakan di Sungai Kadamaian, Kota Belud tetapi juga hampir seluruh daerah di Sabah khususnya kawasan Ranau, Kiulu, Tamparuli, Penampang, Papar dan sekitarnya.
Ia merupakan satu peraturan berasaskan adat masyarakat Kadazandusun di Sabah berhubung pemeliharaan sungai bagi mengelak kepupusan ikan air tawar akibat aktiviti penangkapan yang tidak terkawal.
Sungai yang ditagal, penduduk tidak boleh menangkap ikan melainkan pada musim menuai ikan yang ditetapkan oleh komuniti tagal di perkampungan berkenaan.
Setiap kampung yang mengamalkan sistem tagal, mempunyai papan tanda amaran seperti pengunjung dilarang menangkap segala hidupan di sungai, dilarang membuang sampah atau mencemarkan sungai.
Semua alat digunakan untuk menangkap hidupan air akan dirampas termasuklah dikenakan denda jika didapati melanggar peraturan itu.
Pengunjung, Allison Michael, 37, yang berasal Kota Belud berkata, terdapat kawasan sungai di kebanyakkan kampung yang mengamalkan sistem tagal itu dijadikan sebagai zon merah iaitu kawasan dilarang untuk aktiviti menangkap ikan.
“Contohnya, kawasan ini dilarang untuk mandi, hanya untuk spa ikan saja. Selain itu kita juga boleh memberi ikan makan tetapi tidak dibenarkan untuk menangkap.
“Terdapat juga zon hijau dan kuning yang membolehkan aktiviti mandi-manda atau penangkapan ikan yang dijalankan secara gotong-royong namun hanya boleh ditangkap dalam dua hingga tiga tahun sekali ketika musim kemarau serta bergantung keputusan komuniti tagal,” ujarnya.
Tambahnya, jika didapati mengambil ikan tanpa kebenaran, individu tersebut akan didenda yang telah ditetapkan mengikut adat kampung sama ada berbentuk wang atau haiwan atau kedua-duanya sekali.
Difahamkan, sistem tagal merupakan satu kaedah tradisional yang diubahsuai menjadi satu sistem pengurusan yang di bawah pemantauan Jabatan Perikanan negeri Sabah. PAPAN tanda larangan menangkap ikan juga disediakan di Eko Pelancongan Ikan Jinak Kampung Malangkap Tiong.
Menerusi kaedah ini, penggunaan sumber semulajadi dihadkan dengan mengaplikasikan zon rizab yang diperluaskan kepada lebih ramai komuniti pada masa kini.
Kini, ia bukan sekadar menjadi satu sistem pengurusan untuk tujuan pemeliharaan hidupan air tawar dan pemuliharaan alam sekitar tetapi sebagai ‘produk’ yang menyumbang kepada sektor ekonomi dan sosial komuniti pelaksana.
Sementara itu, pengunjung, Merrolyana Sapinah, 31 berkata ikan yang dikenal pasti boleh menggigit atau ‘mengurut’ ialah ikan Pelian (Tordouronensis) dan Lampam Sungai (Puntius schwanenfeldii).
“Pemandangan Gunung Kinabalu terpampang di depan mata sepanjang laluan Jalan Ranau Bypass menuju ke lokasi ini.
“Selain bermain dengan ikan dan bermandi-manda sehingga puas, kami tidak melepaskan peluang merakamkan saat-saat indah dengan sungai yang jernih dengan ratusan hidupan ikan air tawar yang jinak,” ujarnya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
