Manusia ingin mengembara semua ke permukaan bulan menjelang 2025. Selepas itu permukaan Marikh pula menjadi sasaran dengan koloni tersendiri. Tetapi selepas 60 tahun manusia meneroka angkasa lepas, satu persoalan yang masih belum terjawab ialah kemampuan manusia membiak di angkasa lepas dan koloni di planet selain bumi.
Bagi menjawab persoalan ini firma Spaceborn United dari Belanda ingin melakukan pelbagai ujian saintifik untuk melihat sama ada manusia boleh membiak di angkasa lepas. Ini adalah soalan yang perlu dijawab bagi membolehkan kelangsungan spesis manusia jika Bumi tidak lagi sesuai untuk menjadi tempat tinggi.

Percubaan membiak dalam keadaan graviti sifar mempunyai beberapa cabaran besar. Pertama sekali ialah bagaimana untuk melakukan hubungan seks. Kedua ialah kesan ketiadaan graviti terhadap perkembangan embrio manusia. Seterusnya ialah isu radiasi, impak sifar graviti ke atas bayi di dalam rahim serta logistik untuk melahirkan pula bayi.
Di peringkat awal Spaceborn akan menghantar embrio haiwan mamalia ke angkasa lepas untuk melihat perkembangannya. Proses ini sendiri adalah kompleks kerana embrio sensitif kepada getaran roket dan perlu dibekukan secara kriogenik sepanjang perjalanan dari bumi ke angkasa lepas.
Spaceborn belum meletakkan sasaran bilakah bayi pertama yang disenyawakan dan dilahirkan di angkasa lepas akan menjadi realiti. Mereka sekadar merancang melancarkan lima Misi ARTIS ( Assisted Reproductive Technology In Space) antara 2023 dan 2028.
- Sumber
- Spaceborn United


