SPAN kesan premis tak selenggara tangki septik 20 tahun

LocalEnvironment
10 Jun 2026 • 6:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: SPAN kesan premis tak selenggara tangki septik 20 tahun
Ainal Yusman (tengah) meninjau tangki septikketika Ops Kejor oleh SPAN di Kawasan Perindustrian Menglembu pada Rabu.

IPOH – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengesan terdapat premis industri yang tidak pernah melakukan kerja pengosongan dan penyenggaraan tangki septik sehingga mencecah 20 tahun.

Pengarah Seksyen Penguatkuasaan Bahagian Operasi SPAN, Ainal Yusman Mohamad Yusop berkata, penemuan itu diperoleh menerusi operasi yang dijalankan bersama Indah Water Konsortium (IWK).

Menurutnya, selain premis yang culas selama dua kitaran atau lebih dua tahun, terdapat juga kes ekstrem melibatkan premis yang langsung tidak pernah melakukan kerja penyahcemaran tangki septik selama dua dekad.

“Kalau ikutkan ada yang sudah lebih setahun dan melebihi dua kitaran pengosongan. Malah berdasarkan semakan IWK, ada premis yang paling maksimum 20 tahun tidak pernah melakukan kerja desludging.

“Alasan yang sering diberikan ialah pertukaran pemilik, tidak mengetahui kewajipan tersebut serta kurang kesedaran mengenai kepentingan penyenggaraan tangki septik,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Ops Kejor di Kawasan Perindustrian Menglembu pada Rabu.

Ainal Yusman berkata, kegagalan melakukan pengosongan secara berkala menyebabkan tangki septik tidak lagi mampu merawat air kumbahan dengan sempurna.

Jelasnya, keadaan ini boleh menghasilkan air separa terawat yang boleh mencemari longkang, sungai dan menimbulkan bau busuk.

Katanya, situasi itu juga berpotensi menyebabkan penyebaran penyakit bawaan air jika tidak ditangani segera.

Menurut beliau, di bawah prosedur sedia ada, IWK akan mengeluarkan notis kepada pemilik premis untuk menetapkan tarikh pengosongan tangki septik yang wajib dilakukan setiap dua tahun.

“Jika tiada maklum balas, notis kedua akan dikeluarkan sebelum kes diserahkan kepada SPAN untuk tindakan penguatkuasaan.

“Buat masa ini kita mengeluarkan notis pematuhan terlebih dahulu. Sekiranya selepas tempoh dua minggu masih tiada tindakan atau maklum balas, SPAN akan mengambil langkah penguatkuasaan lanjut termasuk mengeluarkan arahan pengosongan secara paksa,” katanya.

Dalam operasi yang berlangsung dari 10 hingga 12 Jun itu, sebanyak 315 premis komersial di sekitar kawasan Perindustrian Menglembu dan Chandan Raya akan dikunjungi kerana dikenal pasti gagal mematuhi notis pemberitahuan pengosongan tangki septik yang dikeluarkan sebelum ini.

Ainal Yusman berkata, setakat 2025 terdapat kira-kira 1.38 juta tangki septik individu di seluruh negara termasuk Labuan dengan 258,650 daripadanya berada di Perak.

Beliau berkata, pemilik yang gagal menyenggara tangki septik boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 65(1)(c) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, termasuk denda sehingga RM50,000, manakala kes yang menyebabkan kacau ganggu atau membahayakan kesihatan awam turut memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan jika disabitkan kesalahan.

Mengulas mengenai kos penyenggaraan, beliau menjelaskan bagi premis komersial dan industri, kadar caj ditentukan mengikut kategori serta bilangan pekerja, dengan kos maksimum sekitar RM768 bagi tempoh dua tahun.

Selepas Ipoh, operasi sama akan diteruskan di Taiping dan Manjung sebagai sebahagian usaha SPAN meningkatkan tahap pematuhan pemilik premis terhadap kewajipan penyenggaraan sistem pembetungan.

View Original Article