Seramai 55 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Keli, Hutan Melintang, teruja menyertai program SPARKSCIENCE - STI100³ Young Scientist anjuran Pusat Penyelidikan Nanoteknologi (Nano Centre), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) UPSI.
Program sehari yang berteraskan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman itu bertujuan memupuk minat terhadap Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kalangan murid sekolah rendah melalui pelbagai aktiviti interaktif dan eksperimen saintifik.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pegawai SISC+ Sains dan Matematik, Pejabat Pendidikan Daerah Bagan Datuk, Tn. Haji Mohd Ismail Shahlan, yang turut menyifatkan inisiatif itu sebagai usaha proaktif dalam memperkasa budaya STI di peringkat akar umbi.
“Program sebegini wajar diperluas ke lebih banyak sekolah bagi menyemai kecintaan terhadap ilmu Sains dalam kalangan generasi muda sejak awal,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian.
Antara aktiviti yang mencuri perhatian ialah STEAMazing Shows yang mempersembahkan dua demonstrasi eksperimen – FireBoom dan Elephant Toothpaste, serta STEAMazing Race, yang mengetengahkan lima stesen mini eksperimen interaktif iaitu Allotrope Explorer, Detective Nano, Lava Lamp, Wax Drawing dan Rainbow Milk.
Selain itu, program turut menampilkan pameran interaktif STEAMazing Exhibition yang memperkenalkan teknologi pendidikan moden seperti realiti maya (VR), robotik MBot dan kereta solar, dengan bimbingan fasilitator UPSI.
Menurut Penyelaras Program merangkap pensyarah Nano Centre UPSI, ChM. Dr. Siti Nur Akmar Yazid, program tersebut memberi peluang kepada murid meneroka ilmu sains secara menyeronokkan dan bermakna.
“Melalui program ini, kami bukan sahaja memperkenalkan konsep asas sains tetapi juga menggalakkan pemikiran reflektif dan kemahiran menyelesaikan masalah melalui pendekatan eksplorasi dan kolaboratif,” katanya.
Program melibatkan 20 fasilitator dan urus setia dari UPSI yang memulakan perjalanan seawal 7 pagi dari Kampus Sultan Azlan Shah dan disambut meriah oleh murid SK Sungai Keli dengan laungan sorakan dan kibaran bendera kecil.
Sebelum acara rasmi, sesi ‘ice-breaking’ diadakan bagi merapatkan hubungan antara fasilitator dan murid, manakala sesi refleksi murid serta soal selidik pra dan pasca program turut dijalankan bagi menilai impak program terhadap minat dan kefahaman mereka terhadap sains.
Seorang wakil murid, ketika ditemui, meluahkan rasa teruja dan berharap program seperti itu akan diadakan lagi pada masa hadapan.
SPARKSCIENCE 2025 dilihat mampu menyumbang kepada pencapaian Dasar STI Negara dengan melahirkan generasi muda yang celik teknologi dan berdaya saing serta memperkukuh ekosistem pendidikan sains negara bermula dari bangku sekolah.
Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
.jpg)
