iXOOST yang merupakan jenama audio berpangkalan di Belanda kini menembusi pasaran Malaysia dengan kepelbagaian sistem audio premium bertemakan automotif. Pengalaman bertambah menarik apabila pembesar suara tersebut turut boleh diperibadikan oleh pengguna mengikut keperluan dan cita rasa. Sekaligus membolehkan pengguna mendapat pengalaman baharu bagi kepuasan keseluruhan.

Sebanyak lapan produk telah dibentangkan yang mana kesemuanya cukup kemas dan dihias dengan rekaan yang boleh mewujudkan suasana eksklusif kepada pengguna :


- ESAVOX Automobili Lamborghini – Sistem audio premium yang dihasilkan daripada ekzos Lamborghini. Ini digabungkan juga dengan casis monokok dibuat daripada gentian karbon, sistem penyerap getaran pasif dan subwoofer sebesar 10-inci dengan sensitiviti yang tinggi. Selain itu terdapat juga Amplifier 400-Watt bersama teknologi Bluetooth 5.0 Apt-X yang turut melengkapinya.


- AVALÁN Automobili Lamborghini – Pembesar suara premium yang diperbuat daripada ekzos Lamborghini Huracán Tecnica bersama jeriji heksagon yang sudah semestinya memberikan kelainan berbanding biasa. Turut disertakan ialah Amplifier kelas D 80-Watt bersama dua tweeter satu inci dan dua pemacu lima inci, menghasilkan pengalaman audio yang mewah.


- AMG Performance Luxury Audio – Seperti namanya sistem audio ini bertemakan AMG GT Black Series, dan menjadi antara sistem hi-fi terawal yang membawa jenama berkenaan. Ia menampilkan rekaan yang menyerupai grill kereta mewah AMG itu sendiri dengan kombinasi monokok gentian karbon, kekisi aluminium dan ekzos AMG GT, berserta dua pembesar suara dan subwoofer untuk pengelaman bunyi audio menyeluruh.
- Pirelli P ZERO Sound – Ia dihasilkan dengan kerjasama Pirelli yang merupakan pengeluar tayar multinasional yang berpangkalan di Itali. Sistem audio ini mempunyai satu mid-woofer 130mm dan tweeter 25mm yang diletakkan di dalam tauar sebenar Formula 1. Sebagai pilihan terdapat juga model dengan rekaan lebih kecil sesuai bagi dimanfaatkan pada ruang yang terhad.


- XiLO – Ia menampilkan casis diperbuat daripada kayu dan aluminium, selain turut dilengkapi Pancarongga ekzos atau lebih dikenali sebagai ‘exhaust manifold’ buatan tangan. Selain itu terdapat juga amplifier 2X100 + 1X200 Watt bersama teknologi Bluetooth 5.0 Apt-X yang turut melengkapinya, sekaligus membolehkan pengguna menstrim lagu terus daripada telefon pintar, tablet atau komputer riba.
- Radial 6 – Reka bentuk sistem audio ini diilhamkan oleh unsur-unsur tipikal dunia aeronautik, di samping digabungkan juga dengan midrange, tweeter dan woofer untuk hasil audio yang baik. Ia menawarkan reka bentuk sedikit condong ke belakang untuk penghasilan audio yang seragam sekitar dok untuk pengalaman lebih menyeluruh. Kedudukan tweeter di bahagian sisi pula dikatakan mampu bantu memberi sistem audio stereo lebih seimbang.
- KUBO Abarth 595 dan KUBO Abarth 695 – Sistem audio unik yang disambungkan ke replika sistem ekzos ‘Record Monza Sovrapposto’ terkenal. Edisi terhad ini juga dihasilkan bersempena dengan tahun ke-70 Scorpion. Ia juga dilengkapi dengan tweeter mikrofiber dan satu pembesar suara mid-range, yang turut menyertakan amplifier 1×100 Watt.

- Bluetooth Speaker Helmets – Bukan hanya topi keledar biasa malahan turut direka secara unik dengan komponen audio yang canggih. Ia dihasilkan daripada topi keledar pelumba MotoGP tersohor dunia iaitu Andrea Dovizioso.
Kesemua rangkaian penuh produk iXOOST perlu dikostumasi yang memerlukan pengguna membuat pratempahan terlebih dahulu. Tempoh masa siap untuk sesebuah produk adalah diantara tiga hingga empat bulan dari tarikh pembelian. Harga jualan pula bergantung pada jenis pemperibadian pada pembesar suara yang boleh bermula daripada RM80,000 sehingga RM240,000 maksimum.
