Spesifikasi realme GT5 Pro Tertiris – Snapdragon 8 Gen 3, 50MP Sony LYTIA

TechnologyDigital
4 Nov 2023 • 7:11 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Snapdragon 8 Gen 3 telah pun rasmi sebagai cip peranti mercu Android yang paling berkuasa dengan rekaan 3nm dan juga kemampuan AI yang luar biasa. Xiaomi 14 menjadi peranti pertama dengan cip ini, tetapi iQoo, Honor, Asus ROG Phone dan realme turut telah mengacah kehadiran peranti dengan cip sama.

Untuk realme, peranti yang bakal dilancarkan adalah GT5 Pro iaitu peranti mercu yang memfokuskan prestasi. Rekaan peranti yang tertiris memperlihatkan bonggol kamera gergasi dan hari ini spesifikasi lanjut pula tertiris.

image is not available

realme GT5 Pro dikatakan akan menggunakan skrin OLED 6.78″ beresolusi 1.5K dengan kadar segar semula 144Hz. Cip Snapdragon 8 Gen 3 akan dipadankan dengan memori 14GB RAM LPDDR5X dan juga storan dalaman 1TB UFS 4.0.

Bateri peranti adalah 5400mAh dengan pengecasan pantas 100W serta pengecasan nirwayar 50W. Peranti turut akan menjalankan realme UI 5.0 berasaskan Android 14.

image is not available

Peranti ini dikatakan akan memfokuskan fotografi dengan menggunakan sensor Sony LYTIA LYT-T808, kemudian 50MP Sony IMX890 untuk zum periskop dan 8MP OmniVision OV08D10 untuk sudut ultra lebar. Kamera swafoto pula adalah 32MP. Peranti ini besar kemungkinan akan dilancarkan untuk pasaran China sahaja. Sama-sama kita nantikan peranti realme GT mana yang akan tiba ke pasaran Malaysia.