“Spesifikasi” The Sphere Di Las Vegas Diperlihatkan – Dikuasakan 150 Kad Grafik NVIDIA A6000

TechnologyDigital
12 Jul 2024 • 11:47 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

The Sphere merupakan salah satu tarikan terbaru dan terbesar di kota Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat yang boleh dilihat dari jarak jauh. Ia merupakan sebuah sfera yang dipenuhi dengan panel-panel paparan skrin yang mana setiap satunya hadir dengan resolusi 16K. Ia secara lazimnya digunakan untuk tujuan promosi pelbagai jenis produk, jenama dan syarikat.

image is not available

Terkini, sejumlah besar butiran mengenai The Sphere ini telah diperlihatkan dan dikongsi oleh NVIDIA. Pertama ialah penggunaan paparan skrin LED di bahagian dalam dan luar yang hadir dengan resolusi 16Kx16K. Apa yang lebih menarik ialah apabila setiap panel ini dibuka, panel-panel ini mengambil ruang sebesar 750 ribu kaki persegi, ataupun sebanyak 1.2 juta unit paparan LED.

Menguasakan kesemua paparan-paparan ini, dan juga grafik dan video yang dipaparkan pada paparan skrin The Sphere ialah 150 kad grafik NVIDIA RTX A6000 bersama-sama dengan komponen rangkaian dalaman yang lain seperti NVIDIA Bluefield DPU, NVIDIA ConnectX-6 NIC dan juga perisian NVIDIA DOCA Firefly Service dan juga NVIDIA Rivermax.

image is not available

Walaupun The Sphere terletak di Las Vegas, studio Sphere Studios terletak di Burbank, California, dan ia bertanggungjawab untuk membangunkan kandungan multimedia yang dipaparkan pada paparan The Sphere. Sphere Studios juga hadir dengan rekaan yang menyerupai The Sphere, dan hadir dengan rekaan dan teknologi yang sama, cuma pada skala yang lebih kecil berbanding bangunan tersebut.

Untuk memudahkan pembangunan kandungan, Sphere Studios turut menggunakan kamera Big Sky yang mampu merakam kandungan dalam resolusi 18K supaya ia dapat dipamerkan terus pada skrin The Sphere tanpa memerlukan banyak suntingan oleh pihak studio.

image is not available

NVIDIA turut memperlihatkan banyak lagi butiran lanjut mengenai kerjasama mereka bersama-sama The Sphere dalam artikel didalam blog mereka tentang bagaimanakah teknologi-teknologi mereka menguasakan bangunan tersebut.