Spider-Man: Across the Spider-Verse

Movie
10 Jun 2023 • 11:00 AM MYT
Rasfan Abu Bakar
Rasfan Abu Bakar

Penulis merupakan pensyarah seni visual di ASWARA

image is not available
Foto: SCMP

Oleh: Rasfan Abu Bakar

Filem animasi terhebat tahun ini telah tiba di pawagam. Spider-Man: Across the Spider-Verse benar-benar memukau serta sempurna dari pelbagai aspek. Instalasi kedua bagi siri Spider-Verse menampilkan kesan animasi yang menakjubkan, watak yang tidak dapat dilupakan bersama tema dan idea yang kompleks.

Kisah bermula di Bumi-65. Pada suatu malam, Gwen pergi ke Muzium Guggenheim di Manhattan selepas mendengar laporan tentang insiden penceroboh. Di situ dia bertemu dengan Vulture yang berasal dari alam semesta alternatif bertemakan Renaissance Itali. Ketika sedang bergelut, muncul pula kumpulan Spider-People iaitu Miguel O'Hara dan Jessica Drew. Bersama mereka Vulture berjaya ditewaskan. Tetapi Gwen berhadapan pula dengan dilema apabila terpaksa memilih untuk kekal di bumi tersebut bersama bapanya atau berhijrah ke bumi lain melalui satu portal. Gwen kemudianya memilih untuk bersama kumpulan Spider-People dan terus meninggalkan bapanya kerana berasa pengorbananya sia-sia dan tidak dihargai.

Image from: Spider-Man: Across the Spider-Verse
Foto: Moviebloc

Image from: Spider-Man: Across the Spider-Verse
Foto: IMDB

Di Brooklyn, Bumi-1610, Miles Morales sedang menyesuaikan diri untuk menjadi Spider-Man sambil merindui Gwen. Pada satu hari ketika hendak menuju ke sesi penilaian ibu bapa dan guru, dia bertemu dengan Spot, seorang saintis yang badannya telah berubah bentuk akibat meletup dengan teknologi Alchemax. Spot dan Miles mula bertarung didalam sebuah kedai dan pertempuran ini menjadi sangat sukar kerana Spot boleh berpindah dari satu portal ke portal yang lain. Di penghujungnya Spot berjaya meloloskan diri dari Miles dan menghilang ke bumi versi lain.

Selepas kejadian itu, Gwen mengembara ke Bumi-1610 kerana dia dalam misi untuk menjejaki Spot. Gwen juga turut meluangkan masa untuk bertemu dengan Miles. Akibat pertemuan itu, Gwen menjadi leka dan Spot pula berjaya melarikan diri lagi. Apabila Gwen membuka portal untuk mengejar Spot, Mile pula secara diam-diam mengikutinya. Kini mereka berdua berada di  Mumbattan, India. Misi mereka di India pula dibantu oleh  Spider-Man Pavitr Prabhakar dan Hobie Brown atau Spider-Punk.

Image from: Spider-Man: Across the Spider-Verse
Foto: Fly FM

Walaupun mendapat bantuan, mereka tetap gagal untuk menangkap Spot. Kemudian Miles serta yang lain pergi ke bandar Spider-Man di Bumi-928. Disini terdapat beratus-ratus varian Spider-Man dan mereka berada di dalam kompleks yang besar. Miles juga telah dibawa berjumpa dengan ketua Spider-Society iaitu Miguel O’Hara atau Ninja Vampire. Miguel telah menasihati Miles agar jangan masuk campur dengan urusan mereka kerana ini akan mengancam keadaan multiverse.

Miles berkeras dengan pendiriannya dan berlakulah adegan kejar-mengejar segerombolan Spider-Man dari pelbagai multiverse untuk menangkap Miles. Tetapi Miles tetap berjaya melarikan diri dan pergi ke Bumi-1610 untuk bersama dengan keluarganya. Tetapi entah bagaimana dia sebenarnya telah tersalah bumi dan kini Spot dalam cubaan untuk membalas dendam terhadap keluarganya. Kisah ini tergantung dipenghujungnya dan semua peminat perlu menuggu beberapa tahun lagi untuk mengetahui apakah kesudahnya.

Spider-Man: Across the Spider-Verse ini diarahkan oleh pengarah bersama iaitu Joaquim Dos Santos, Kemp Powers dan Justin K. Thompson. Filem ini amat hebat dengan reka cipta visual dan evolusi gaya pelbagai versi Spider-Man yang sungguh memukau. Ada versi gemuk, koboi, noir, Lego dan pelbagai lagi. Kesan khas, warna, serta keseluruhan produksinya begitu mempersonakan, asli serta tidak ubah seperti membaca komik. Aksi suara yang menghidupkan setiap watak utama juga begitu mengesankan disamping suara dengan loghat tersendiri iaitu Spider-Man versi India dan Spider-Punk dari UK.

Buat peminat Spider-Man, jangan berlengah lagi!

Penulis merupakan pensyarah seni visual di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA).


Rasfan Abu Bakar adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.