Spotify mahu kenakan bayaran lebih mahal untuk audio berkualiti tinggi

Digital
22 Jun 2023 • 11:49 AM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Spotify, penyedia perkhidmatan penstriman audio terkemuka dunia, dilaporkan mahu memperkenal pelan langganan yang lebih mahal tetapi dengan ciri yang ditambah. Ia bagi memenuhi kehendak pemegang saham yang mahukan Spotify menaikkan harga langganan mereka yang sudah lama tidak berubah.

Pelan itu dikatakan akan diberi nama “Supermium” dan ia akan menjadi pelan baru yang paling mahal dan dijangka akan ditambah fungsi audio HiFi berkualiti tinggi. Tambahan audio HiFi telah diperkatakan sejak tahun 2021, tetapi Spotify masih bertangguh melaksanakannya. Ini berbeza dengan pesaing mereka seperti Apple Music dan Amazon Music, yang memperkenal audio HiFi secara percuma kepada pelanggan berbayar mereka.

image is not available

Spotify dikhabarkan akan melancarkan pelan baru ini di pasaran luar Amerika Syarikat dahulu. Bagi memberi tambah nilai kepada pelan Premium sedia ada, pengguna akan diberikan akses lebih luas kepada buku-audio, sama ada menerusi jam percuma tertentu atau tajuk tertentu. Buat masa ini, Spotify menyediakan pembelian buku-audio secara ala-carte di dalam aplikasi.

Jurucakap Spotify bagaimanapun tidak memberi komen apabila ditanyakan tentang perkara ini oleh Bloomberg. Kata mereka, Spotify tidak memberi respon kepada spekulasi tentang fungsi baru dan tiada pengumuman akan dibuat buat masa ini. Bagaimanapun, Spotify menyatakan mereka sentiasa mencari idea untuk mempertingkat tawaran produk dan tambah nilai kepada pengguna.

image is not available

Buat masa ini, pengguna Spotify percuma dengan paparan iklan boleh menstrim lagu pada kadar AAC 128kbit/s di pelayar web dan sehingga 160kbit/s di peranti mudahalih, bergantung kepada kualiti sambungan. Manakala pelanggan Premium, boleh menikmati sehingga AAC 256kbit/s dan sehingga 320kbit/s di peranti mudah alih.

Harga pelan Premium di Malaysia pula bermula dari RM15.90 untuk individu, RM21.50 untuk 2 akaun dan RM24.90 untuk keluarga sehingga 6 akaun. Ia juga boleh dilanggan secara harian pada RM0.75 sehari. Pelajar pula boleh melanggan dengan diskaun 50% iaitu RM8.50/bulan.

image is not available

Jika ada audio HiFi di Spotify, adakah anda berminat melanggan dengan harga lebih tinggi?

[Sumber: Bloomberg]

Bacaan Berkaitan