
Spotify memperkenalkan ciri baharu dikenali sebagai Notes untuk menjadikan senarai main lebih peribadi melalui gabungan nota daripada editor serta catatan peribadi pengguna. Ciri ini dibahagikan kepada dua komponen utama iaitu Editor Notes dan User Notes.

Bagi Editor Notes, editor Spotify akan berkongsi alasan pemilihan sesebuah lagu, kaitan budaya serta kisah di sebalik senarai main. Selain itu, profil editor turut diperkenalkan bagi memaparkan lagu kegemaran, album pilihan dan senarai main yang disusun khas. Buat masa ini, ciri tersebut hanya ditawarkan kepada pengguna berumur 16 tahun ke atas di Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Ireland, Australia dan New Zealand. Namun, setakat ini masih belum dapat dipastikan sama ada ia akan diperluaskan ke pasaran lain atau sebaliknya.

Sementara itu, User Notes membolehkan pengguna menambah catatan peribadi pada lagu, pod siar atau buku audio dalam senarai main mereka. Catatan tersebut boleh digunakan untuk berkongsi pengalaman, memberikan cadangan atau menjelaskan sebab pemilihan lagu dan akan dipaparkan kepada sesiapa sahaja yang mempunyai akses ke senarai main berkenaan.
Ciri ini sedang dilancarkan secara berperingkat di lebih 100 pasaran global melalui peranti iOS dan Android. Bagaimanapun, semakan mendapati fungsi tersebut masih belum tersedia dalam aplikasi kami pada waktu ini.
Sumber – Spotify

