GEORGE TOWN - Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) memperkukuh langkah pencegahan jangkitan hantavirus di Terminal Kapal Persiaran Swettenham Pier (SPCT) susulan laporan antarabangsa mengenai kluster kes melibatkan sebuah kapal persiaran.
Pengerusinya, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, walaupun tiada kes dilaporkan di Malaysia setakat ini, pihaknya memandang serius perkembangan tersebut demi keselamatan penumpang, kru kapal dan komuniti setempat.
Menurutnya, sebagai pintu masuk utama kapal persiaran antarabangsa, SPCT akan memperketat pemeriksaan sanitasi kapal serta pemantauan infestasi tikus di kawasan terminal.
“Langkah ini dilaksanakan selaras dengan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR 2005) menerusi kerjasama rapat bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi berkaitan.
“Penekanan turut diberikan terhadap pengesanan awal sebarang risiko kesihatan bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kemudahan kesihatan di terminal juga berada dalam keadaan siap siaga bagi mengendalikan sebarang kes disyaki.
Tambahnya, aktiviti pengawasan penyakit berjangkit termasuk pengawasan berasaskan kejadian turut dipertingkat bagi mengesan sebarang insiden luar biasa dengan lebih pantas.
“Kerjasama bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan pihak berkuasa tempatan juga diperkukuhkan bagi memastikan kawalan vektor dan kebersihan persekitaran sentiasa terjaga,” katanya.
Dalam pada itu, Soon Hin menasihatkan semua penumpang dan kru kapal supaya mengambil langkah pencegahan termasuk mengelakkan sentuhan dengan tikus atau najis tikus.
Beliau berkata, orang ramai juga digalakkan memakai pelitup muka dan sarung tangan ketika membersihkan kawasan tercemar selain mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala seperti demam, sakit otot, batuk atau sesak nafas selepas berada di kawasan berisiko.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan Malaysia dalam tahap kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi ancaman penularan jangkitan hantavirus walaupun tiada kes melibatkan rakyat negara ini direkodkan.
Beliau berkata, pendekatan itu penting memandangkan cabaran kesihatan awam kini bersifat global dan tiada negara yang benar-benar selamat tanpa langkah berwaspada berterusan.
Hantavirus ialah virus bawaan tikus yang boleh menjangkiti manusia melalui udara tercemar dengan sisa kotoran, air kencing atau air liur haiwan itu.
Dzulkefly berkata, virus itu tidak wajar dipandang remeh kerana komplikasinya berpotensi membawa maut dengan kadar kematian bagi Sindrom Paru-paru Hantavirus (HPS) boleh mencecah 30 hingga 40 peratus.
Media antarabangsa melaporkan negara Eropah meningkatkan langkah pemantauan dan pengasingan selepas berlakunya wabak hantavirus yang dikaitkan dengan kapal persiaran berbendera Belanda MV Hondius.



