SPR adakan mesyuarat khas bincang PRK Pulai, Simpang Jeram

3 Aug 2023 • 8:45 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat khas 10 pagi ini bagi membincangkan urusan pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor.

Mesyuarat di Menara SPR Putrajaya itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh bagi membincangkan urusan PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

SPR akan mengadakan sidang media sejurus selesai mesyuarat khas itu.

Pada 25 Julai lepas, Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan memaklumkan mesyuarat khas itu diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P161 Pulai dan DUN N13 Simpang Jeram berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada pukul 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Salahuddin dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat, Pontian, Johor pada 24 Julai.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved