
SPR Adakan Mesyuarat Khas Urusan PRK Parlimen Kinabatangan Dan DUN Lamag 16 Dis
KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Sabah pada 16 Dis ini.
Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata suruhanjaya itu telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M. Yahya berhubung kekosongan luar jangka bagi kedua-dua kerusi berkenaan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Dis lepas.
“Selaras Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 21 (5) Perlembagaan Negeri Sabah yang memperuntukkan bahawa kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P.187 Kinabatangan dan Dewan Undangan N.58 Lamag, Sabah, hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan dipastikan SPR.
“Mesyuarat khas tersebut akan dipengerusikan Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun, bagi menentukan tarikh-tarikh penting PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, termasuk tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas itu.
BACA: Ini Penjelasan Indonesia Tolak Bantuan Asing, Mahu Urus Bencana Sendiri
BACA: Lelaki Bujang Malaysia Layak Mohon Untuk Menyewa Di Residensi Belia Cheras (DBKL) RM200 Sebulan
Sumber: Bernama
The post SPR Adakan Mesyuarat Khas Urusan PRK Parlimen Kinabatangan Dan DUN Lamag 16 Dis appeared first on Siakap Keli.

