
KUALA LUMPUR: Sebanyak 126 daripada 133 representasi yang diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membantah syor persempadanan semula bahagian pilihan raya negeri Sarawak yang mengambil kira penambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, SPR mempamerkan syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak Kali Ketujuh selama sebulan bermula 1 hingga 30 September lalu.
Beliau berkata, kajian itu dilaksanakan susulan kelulusan penambahan 17 kerusi DUN baharu oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak.
“Sepanjang tempoh pameran, SPR telah menerima sejumlah 133 representasi dengan 126 representasi membantah dan tujuh representasi menyokong terhadap syor berkenaan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohamad Shafizan Haji Kepli (GPS-Batang Lupar) yang meminta kerajaan menyatakan garis masa pelaksanaan Kajian Semula Persempadanan (KSP) Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Dalam Negeri Sarawak Kali Ketujuh, jumlah bantahan dan sokongan yang diterima setelah pameran kali pertama dilaksanakan dan bilakah laporan akhir dijangka dapat dimuktamadkan.
Azalina menjelaskan, SPR diberikan tempoh dua tahun untuk menyelesaikan kajian berkenaan bermula dari tarikh notis yang dinyatakan dalam Seksyen 4, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan, yang disiarkan pada 1 September 2026.
“Dalam menjalankan kajian ini, SPR diberikan tempoh masa selama dua tahun untuk menyiapkan kajian tersebut bermula dari tarikh tersiarnya notis yang disebut dalam Seksyen 4, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan, iaitu 1 September 2026 sehinggalah laporan akhir kajian dikemukakan kepada YAB Perdana Menteri seperti yang diperuntukan dalam Fasal 10, Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan,” katanya. –UTUSAN
The post SPR terima 126 representasi bantah persempadanan pilihan raya Sarawak appeared first on Utusan Malaysia.





