SPR terima watikah pembubaran DUN N.Sembilan

Politics
29 Jun 2023 • 9:51 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SEREMBAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan semalam.

Pengarah SPR negeri, Mohd Heikal Kamarudin berkata watikah itu diserahkan oleh Setiausaha DUN Negeri Sembilan, Mohd Amin Ludin di pejabat SPR negeri di sini.

“Setiausaha DUN Negeri Sembilan hadir ke pejabat saya semalam dan menyerahkan dokumen proklamasi pembubaran DUN,“ katanya kepada Bernama hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, semalam, mengumumkan tarikh pembubaran DUN Negeri Sembilan pada Sabtu ini, (1 Julai) selaras dengan perkenan Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Negeri Sembilan antara enam negeri yang akan mengadakan PRN selain Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.

Negeri Sembilan memiliki 36 kerusi DUN yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dipimpin Aminuddin menguasai 20 kerusi (DAP-11, PKR-6, Amanah-3) dan diikuti Barisan Nasional (BN) 16 kerusi (Umno-15 dan MIC-satu) - Bernama