SPRM anjur persidangan penyelidikan perkukuh integriti ke arah Malaysia bebas rasuah

LocalPolitics
21 Sep 2026 • 7:21 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: SPRM anjur persidangan penyelidikan perkukuh integriti ke arah Malaysia bebas rasuah

PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), melalui Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) sekali lagi akan menganjurkan Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan sekali gus menzahirkan komitmen dan iltizam berterusan kerajaan dalam memperkukuh tatakelola, integriti dan usaha meme­rangi rasuah.

Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 Tahun 2026 bertemakan ‘MADANI Pemangkin Tatakelola Berintegriti ke Arah Malaysia Bebas Rasuah’ akan diadakan pada hari Jumaat, 25 September ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Ia bakal melabuhkan tirai dengan penyempurnaan penutupan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Kanan BPGN SPRM, Datuk Idris Zaharudin berkata, persidangan berkenaan, yang akan menghimpunkan 1,000 peserta me­libatkan pelbagai pihak berkepen­tingan merupakan platform penting dalam memperkukuh perkongsian pengetahuan dan dapatan penyelidikan berkaitan tatakelola, integriti dan antirasuah, selaras dengan ­aspirasi MADANI Pemangkin Tatakelola Berintegriti ke Arah Malaysia Bebas Rasuah.

Katanya, persidangan ini ­menyediakan ruang kepada para penyelidik, perancang dasar, pengamal serta pemegang taruh untuk berkongsi dapatan kajian, bertukar pandangan dan menilai pendekatan yang bersesuaian dalam menangani cabaran semasa berkaitan tatakelola, integriti dan risiko rasuah.

Image from: SPRM anjur persidangan penyelidikan perkukuh integriti ke arah Malaysia bebas rasuah

“Sebanyak enam kertas projek penyelidikan akan dibentangkan pada persidangan kali ini, melibatkan enam entiti penyelidik daripada institusi pengajian tinggi tempatan iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

“Persidangan ini bukan sekadar menjadi medan pembentangan hasil penyelidikan, tetapi turut ­menyediakan ruang untuk dapatan dan syor yang dikemukakan dikongsi secara terbuka bersama peme­gang taruh yang berkaitan.

“Perkongsian sebegini penting bagi memastikan hasil penyelidikan dapat diberikan perhatian dan dipertimbangkan sebagai input kepada usaha penambahbaikan tatakelola, integriti serta pencegahan rasuah di organisasi masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, penglibatan institusi penyelidikan dalam persidangan ini turut memperlihatkan kepentingan kerjasama antara SPRM dengan pihak akademik dalam menghasilkan kajian yang dapat memberikan gambaran lebih menyeluruh mengenai isu tatakelola, integriti dan antirasuah.

“Dapatan penyelidikan yang dibentangkan diharapkan bukan sahaja menyumbang kepada pengembangan ilmu, malah dapat menjadi input yang berguna kepada pihak berkepentingan dalam merangka pendekatan, strategi dan tindakan yang lebih berkesan ke arah memperkukuh tatakelola berintegriti serta merealisasikan aspirasi Malaysia bebas rasuah,” katanya.

Dengan tema MADANI Pemang­kin Tatakelola Berintegriti ke Arah Malaysia Bebas Rasuah, persidangan ini diharap dapat memperkukuh ke­sedaran dan komitmen semua pihak terhadap kepentingan tatakelola dan integriti serta membudayakan nilai antirasuah dalam organisasi dan masyarakat.

Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah ini merupakan agenda tahunan SPRM yang menjadi platform penting dalam memperkasa perkongsian hasil penyelidikan serta menghubungkan dapatan akademik dengan keperluan sebenar dalam usaha membina sebuah negara yang mempunyai tatakelola kukuh, berintegriti dan bebas rasuah.

The post SPRM anjur persidangan penyelidikan perkukuh integriti ke arah Malaysia bebas rasuah appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved