
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap IJM Corporation berhubung isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.
Menurut sumber dipetik Sinar Harian, pasukan penyiasat menerusi Op Heart juga telah menjalankan pemeriksaan dan penggeledahan di empat lokasi berasingan melibatkan kediaman serta penjabat salah seorang pengurusan tertinggi syarikat itu.
55 akaun bank berjumlah RM15.8 juta dibekukan SPRM
Difahamkan, SPRM juga telah membekukan sebanyak 55 akaun bank dengan jumlah keseluruhan dianggarkan kira-kira RM15.8 juta.
“Pada masa sama, SPRM turut membekukan sebanyak 55 akaun bank persendirian serta akaun syarikat-syarikat berkaitan dengan jumlah keseluruhan dianggarkan kira-kira RM15.8 juta.
“Selain itu, siasatan turut menumpukan kepada usaha mengesan dan menyita aset-aset lain yang disyaki diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram,” katanya.
9 rakaman pernyataan sudah diambil SPRM
Menurut sumber lagi, sehingga kini sembilan rakaman pernyataan telah diambil termasuk dua daripada pihak pengurusan tertinggi IJM Corporation.
“Rakaman pernyataan dua pengurusan tertinggi syarikat tersebut disambung hari ini (Rabu), dan lima orang saksi lagi akan dipanggil untuk dirakam percakapan dalam masa terdekat,” katanya.
Kes disiasat di atas Skesyen 16 Akta SPRM 2009 & AMLATFPUAA 2001
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Terdahulu, pada 19 Januari lalu, Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM telah menjalankan siasatan terhadap dua individu daripada pengurusan tertinggi IJM Corporation.
Pada semalam pula (20 Januari), SPRM memaklumkan bahawa sembilan individu telah dirakam keterangan, termasuk dua pihak berkepentingan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penglibatan IJM dalam skim pengubahan wang haram berjumlah RM2.5 bilion.
