
KUALA LUMPUR – Tindakan pembekuan harta milik Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan keluarganya di luar negara berjumlah lebih RM750 juta dilakukan bagi mengelakkan ia dilupuskan, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Difahamkan harta berkenaan merupakan sebahagian daripada harta Allahyarham Tun Daim Zainuddin bernilai RM2 bilion yang diintai agensi berkenaan untuk dilucutkan kerana tidak tidak diisytiharkan, lapor Berita Harian.
“Kita sudah memasukkan permohonan perintah sekatan di mahkamah bagi pembekuan aset di luar negara dan akan meneruskan siasatan bagi akaun-akaun yang sudah disita.
"Kita perlu membuat penyitaan bagi mengelak ia dilupuskan oleh pihak tertentu. Jika perintah sekatan tidak dibuat, besar kemungkinan harta-harta yang kita syak tidak diisytihar akan dilupuskan," katanya.
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan SPRM membekukan tujuh hartanah dan satu akaun bank bernilai 132 juta pound Britain (RM758.2 juta) milik Na’imah dan keluarga.
Tiga kediaman mewah dan dua bangunan komersial di London antara aset dibenarkan dibekukan.
Perintah itu diberikan Hakim Azhar Abdul Hamid selepas membenarkan permohonan dikemukakan pada prosiding secara ex-parte.
Hasil siasatan yang dijalankan oleh SPRM mendapati harta alih dan tidak alih itu adalah perkara atau keterangan yang berhubungan dengan suatu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Permohonan SPRM itu dibuat mengikut Seksyen 53 AMLATFPUAA 2001 bagi siasatan mengikut Seksyen 4(1) akta sama.
Bagaimanapun, Na’imah dalam kenyataan hari ini memberitahu beliau akan mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu dan menegaskan tidak dimaklumkan mengenai tindakan berkenaan serta hanya mengetahuinya melalui laporan media.
Sambil menyifatkan ia sebagai satu pencabulan mengejut norma undang-undang yang paling asas dan langsung tidak boleh diterima, Na’imah mendakwa SPRM memperoleh perintah ex-parte (sebelah pihak) itu secara rahsia.
Malah, katanya, dirinya tidak diberi peluang untuk bersuara di mana beliau sepatutnya dibenarkan menyatakan pembelaan di mahkamah.
“Tiada orang yang munasabah akan mengatakan bahawa ini selaras dengan keadilan atau prinsip keadilan asasi. Mereka telah memperolehi perintah tersebut secara serang hendap.
“Malah tiada peruntukan dalam undang-undang yang membenarkan permohonan ex parte seperti ini dibuat. Dan kini mereka bersembunyi di sebalik selimut legaliti untuk menjustifikasikan sesuatu yang secara jelas merupakan satu bentuk pencurian oleh institusi kerajaan,” katanya. - 4 Jun, 2025
The post SPRM beku aset isteri Daim elak dilupuskan: Azam Baki appeared first on Scoop.
