BANGI - Modus operandi jenayah yang lebih tersusun dengan teknologi digital serta transaksi rentas sempadan menjadi cabaran dalam usaha membanteras rasuah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, senario itu menuntut warga suruhanjaya berdepan cabaran baharu dengan tahap profesionalisme, ketelusan dan integriti yang lebih tinggi.
Menurutnya, SPRM turut berdepan cabaran persepsi serta kepercayaan awam dalam era maklumat tanpa sempadan apabila setiap tindakan penguatkuasaan sentiasa diperhatikan dan dinilai masyarakat di dalam serta luar negara.
“Evolusi modus operandi rasuah kini semakin canggih, melibatkan penggunaan teknologi digital, transaksi rentas sempadan serta jaringan yang lebih tersusun.
“Amat penting untuk kita terus memperkukuhkan daya tahan organisasi, meningkatkan kompetensi warga kerja serta mengamalkan budaya kerja berintegriti,” katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) SPRM Tahun 2025 bertemakan ‘Integriti Dijulang, Perkhidmatan Cemerlang’ di Pusat Konvensyen Bangi Avenue di sini pada Selasa.
Hadir sama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Junipah Wandi.
Tambah Azam, tema berkenaan bukan sekadar slogan, sebaliknya menjadi prinsip asas dan nadi kepada setiap tindakan serta keputusan warga SPRM dalam melaksanakan amanah kepada negara.
Pada majlis itu, seramai 233 warga SPRM menerima APC membabitkan 146 penerima dari Ibu Pejabat dan 87 lagi dari SPRM negeri.
Selain itu, sebanyak 33 Anugerah Khas dan dua Anugerah Emas turut disampaikan menerusi Anugerah Ketua Pesuruhjaya (AKPJ) membabitkan 67 pencalonan yang diterima.
Jelas Azam, pencapaian berkenaan membuktikan kecemerlangan berteraskan integriti terus subur dalam organisasi itu, sekali gus memperkukuh keyakinan rakyat terhadap SPRM.
Pada majlis itu juga, Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM turut menerima Anugerah Khas AKPJ menerusi tajuk projek Pengiktirafan Antarabangsa Bagi Komunikasi Strategik (ASEAN Awards dan RAGAN).
Bagi Anugerah Emas AKPJ pula diterima oleh Bahagian Siasatan SPRM atas kejayaan membongkar Kartel Perolehan Angkatan Tentera Malaysia melalui Ops Parasit dan Ops Star mananakala Bahagian Perundangan dan Pendakwaan menerusi Kejayaan Kes Berprofil Tinggi: Public Prosecutor vs Mohd Najib bin Abdul Razak (IMDB).
"SPRM juga perlu berbangga kerana telah mencapai kecemerlangan di dalam dan luar negara antaranya menerusi permeteraian perjanjian persefahaman (MoU) dengan negara luar misalnya bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Arab Saudi yang mencerminkan keyakinan negara-negara ini terhadap prestasi SPRM,” katanya.
