SPRM beri jaminan siasatan secara telus dakwaan salah guna kuasa kontrak bernilai RM214 juta Opcom

LocalPolitics
28 Jun 2023 • 9:58 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SPRM beri jaminan siasatan secara telus dakwaan salah guna kuasa kontrak bernilai RM214 juta Opcom

zulfadli

28/06/2023 - 09:58

KUALA LUMPUR 28 Jun - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan akan menjalankan siasatan secara telus tanpa berat sebelah terhadap mana-mana individu atau pihak tertentu.

Ia berikutan dakwaan salah guna kuasa dalam pemberian kontrak gentian optik bernilai RM214.2 juta kepada syarikat yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya melihat perkara ini dengan telus, dan tidak akan melihatnya terhadap siapa yang terbabit.

Bagaimanapun katanya, badan penguatkuasaan itu belum membuka kertas siasatan dan memerlukan sedikit masa untuk meneliti dakwaan berkenaan memandangkan ia berlaku kira-kira 20 tahun lalu.

"Pihak kami sedang meneliti dan akan buka kertas siasatan apabila maklumat diperlukan sudah lengkap kerana siasatan lama, kami perlukan sedikit masa.

"Kita belum buka lagi siasatan secara terbuka, tetapi saya sahkan kita sedang meneliti maklumat yang diperoleh untuk dikaji.

"Kita akan maklumkan perkembangan dalam tempoh terdekat. Bagi saya masa sikit," katanya kepada media selepas merasmikan Hari Integriti Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini.

image is not available
Tan Sri Azam Baki

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini mengenai siasatan SPRM terhadap dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Telekom Malaysia Bhd mengeluarkan surat meminta kebenaran mengadakan rundingan terus dengan Opcom Sdn Bhd bagi pembekalan kabel fiber optik bernilai RM214.2 juta.

Surat berkenaan dikeluarkan kepada Kementerian Kewangan pada 15 September 2003, yang mana Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu adalah Dr Mahathir, manakala anak ketiganya, Datuk Seri Mukhriz adalah Pengarah Opcom.

Menerusi pembelaan terhadap saman difailkan Dr Mahathir, Anwar berkata, Telekom adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mana Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) memegang satu saham khas yang memberikan MKD kuasa untuk menolak keputusan lembaga dan pemegang saham lain.

Beliau berkata, MKD pada masa itu berada di bawah kawalan dan arahan Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Sebelum ini, Anwar menegaskan siasatan ke atas Dr Mahathir yang dilaksanakan SPRM dilakukan sendiri agensi penguat kuasa itu secara bebas dan berkecuali, lapor Berita Harian.

"Orang yang menganggap ini tuduhan bermotif politik perlu melihat kepada fakta dan bukan mengelirukan rakyat.

"Kalau nyata siasatan ada terhadap kes berprofil tinggi dan alasan cukup kukuh untuk mendakwa, maka itu tugas SPRM dan Jabatan Peguam Negara," katanya. - DagangNews.com