SPRM cadang dakwa individu firma guaman antarabangsa terkait skandal 1MDB

LocalPolitics
2 Apr 2026 • 12:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Azam

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam proses mencadangkan pertuduhan terhadap beberapa individu daripada sebuah firma guaman antarabangsa yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan bagi mendapatkan bukti tambahan di luar negara sebelum sebarang tindakan lanjut dimuktamadkan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan terhadap firma guaman tersebut meliputi dakwaan penyediaan dokumen yang disyaki mengandungi maklumat dan butiran palsu serta arahan pembayaran yang mengelirukan sehingga penyaluran dana berkaitan 1MDB kepada pihak yang tidak sepatutnya.

Menurutnya, penelitian turut dilakukan terhadap bayaran yang dibuat kepada firma berkenaan yang dipercayai membabitkan dana 1MDB.

"Siasatan ini dijalankan di bawah peruntukan undang-undang yang berkaitan termasuk Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Bagi memperkukuh siasatan, SPRM sedang dalam proses mendapatkan maklumat dan dokumen penting melalui saluran perundangan rasmi termasuk menerusi Jabatan Peguam Negara (AGC) serta mekanisme Bantuan Perundangan Bersama (Mutual Legal Assistance – MLA) dengan pihak berkuasa di United Kingdom,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Azam berkata, SPRM turut bekerjasama rapat dengan agensi antarabangsa dalam mendapatkan maklumat, bukti dan dokumen.

"Kerjasama ini sedang berjalan dan merupakan sebahagian penting daripada usaha penguatkuasaan rentas sempadan yang diselaraskan.

“SPRM juga akan berkongsi dapatan siasatan dengan pihak berkuasa berkaitan bagi menyokong tindakan penguatkuasaan selanjutnya di bidang kuasa masing-masing,” ujarnya.

Januari tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengesahkan siasatan sedang dijalankan terhadap cawangan firma berkenaan.

Firma guaman terbabit dipercayai terlibat dalam penyelewengan sejumlah AS$1 bilion melibatkan dana 1MDB termasuk pengalihan kira-kira AS$700 juta kepada sebuah entiti luar pesisir yang berada di luar kawalan 1MDB.