SPRM kaji semula dakwaan seleweng wang zakat MAINS

13 Feb 2023 • 8:56 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kes berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), dikaji semula untuk melihat keterangan yang ada.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata kertas siasatan kini dirujuk semula kepada Timbalan Pendakwa Raya, dan arahan telah dikeluarkan untuk dijalankan siasatan lanjut terhadap isu berbangkit.

“SPRM ingin menjelaskan bahawa kes berkenaan telah pun dibuka dan disiasat pada 2019, dengan fokus kepada isu rasuah dan salah guna kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 9 Feb lepas, Pengarah SPRM Negeri Sembilan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail dilaporkan berkata, siasatan berhubung isu dakwaan penyelewengan wang zakat melibatkan MAINS Zakat Sdn Bhd tidak menemukan sebarang unsur kesalahan jenayah rasuah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

MAINS juga dilaporkan turut mengeluarkan kenyataan menafikan tohmahan dan fitnah yang disebarkan melalui media sosial, berkenaan salah guna wang zakat di Negeri Sembilan.

Sebelum ini, tular di aplikasi Telegram mengenai laporan pecah amanah wang kutipan zakat melibatkan pegawai jabatan tersebut.