SPRM mohon beku 36 akaun bank susulan penahanan 11 anggota penguatkuasa

LocalPolitics
15 Nov 2025 • 2:53 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memohon untuk membekukan 36 akaun berjumlah lebih RM3.1 juta susulan penahanan 11 individu melibatkan 10 pegawai agensi penguatkuasa dan seorang pesara agensi berkenaan.

Mereka ditahan dalam Op Bleach yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM kerana disyaki terbabit rasuah bagi mempercepat proses permohonan program pemutihan pendatang asing menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, turut disita ialah empat kereta, lima motosikal, dua gold bar seberat 0.3 gram yang dianggarkan bernilai RM150, empat utas barang kemas bernilai kira-kira RM7,000 dan wang tunai RM116,702," katanya, lapor Sinar Harian.

Azam memberitahu, mereka yang ditahan adalah bermula dari gred KP19/KP1 hingga KP38/KP7.

“Berdasarkan hasil siasatan, rasuah yang diterima adalah bagi mempercepatkan proses RTK yang dianggarkan sebanyak RM600 untuk setiap pekerja asing,’’ katanya.

Beliau berkata, semua tujuh individu yang ditahan reman sehingga Sabtu dibebaskan dengan jaminan.

“Setakat ini tiada tangkapan baharu dan seramai tujuh saksi sudah dipanggil bagi merakam percakapan,” katanya.

Pada Khamis, tujuh pegawai agensi penguat kuasa ditahan reman selama tiga hari sehingga hari ini, kerana disyaki terlibat rasuah bagi mempercepat proses permohonan program pemutihan pendatang asing menerusi Program RTK.

Kesemua suspek melibatkan empat lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 30 hingga 50-an, ditahan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang menerusi Ops Bleach yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM semalam.

Ops Bleach adalah operasi susulan yang dijalankan SPRM berkait sindiket Counter Setting menerusi Ops Rentas dan Ops Dygo yang dijalankan baru-baru ini. - 15 November, 2025

The post SPRM mohon beku 36 akaun bank susulan penahanan 11 anggota penguatkuasa appeared first on Scoop.