
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyangkal dakwaan kes salah guna kuasa membabitkan Mara Corp akan digugurkan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, setakat ini, tiada sebarang makluman daripada Jabatan Peguam Negara berhubung kes itu.
“Sebagai badan penyiasat, kami telah menghantar fail ke Jabatan Peguam Negara dan seperti mana saya cakap sebelum ini, terdapat beberapa pihak untuk dituduh dalam kes ini,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Pada 1 Mac lalu, Azam dilaporkan berkata, kertas siasatan berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan salah urus Mara Corp selesai sepenuhnya dan mereka dalam peringkat perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara untuk langkah seterusnya.
Ia selepas SPRM memanggil lima pegawai Mara yang dikaitkan dengan dakwaan integriti dan salah guna kuasa membabitkan Mara Corp. Lima individu itu antara 17 orang yang dikenal pasti bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Empat lagi anggota lembaga pengarah Mara Corp, empat pegawai Mara, tiga pegawai bank dan seorang pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia turut dipanggil agensi anti-rasuah itu.
SPRM turut menyerbu Ibu Pejabat Mara dan Mara Corp serta sebuah syarikat setiausaha korporat dan merampas kertas cadangan serta minit mesyuarat lembaga pengarah, dokumen kewangan, senarai gaji dan dokumen membabitkan sumber manusia.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

