
KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak akan bertolak ansur sekiranya siasatan mendapati wujud unsur rasuah atau penyelewengan dalam pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat pemula teknologi akuakultur, eFishery.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini berkata, meskipun laporan awal menunjukkan tidak wujud unsur rasuah atau penyelewengan namun SPRM perlu meneliti keseluruhan proses pelaburan.
Ia termasuk melihat keputusan yang dibuat oleh panel pelaburan yang akhirnya dipersetujui oleh lembaga itu, lapor Bernama.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata beliau telah menemui pengurusan KWAP dan menyatakan perlunya kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan dijalankan.
“Saya telah menemui pengurusan KWAP untuk menyatakan (bahawa mereka) harus beri kerjasama sepenuhnya. Walaupun melihat pada laporan awal, saya percaya tidak ada unsur-unsur sebegitu.
“Saya ingin tekankan bahawa kita tidak boleh bertolak ansur sekiranya ada penyelewengan atau rasuah.
“Oleh sebab itu, walaupun kita berpendapat sedemikian, SPRM harus juga melihat proses pelaburan dan keputusan dibuat oleh panel pelaburan yang akhirnya dipersetujui oleh lembaga,” katanya.
Beliau menjawab soalan Senator Tuan Mohd Hasbie Muda yang meminta Menteri Kewangan menyatakan apakah strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.
Pada Sabtu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata SPRM telah membuka kertas siasatan berhubung kerugian pelaburan mega berjumlah RM200 juta oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery.
Abd Halim turut mengesahkan sebuah pasukan khas dari Ibu Pejabat SPRM telah dibentuk bagi meneliti keseluruhan proses pelaburan berkenaan.
MOF sebelum ini, dalam jawapan bertulis di Parlimen memaklumkan KWAP menjadi mangsa penipuan yang dirancang berkaitan pelaburan tersebut susulan manipulasi penyata kewangan syarikat Indonesia itu oleh pihak pengurusannya.
KWAP dilaporkan telah melabur sebanyak AS$47.7 juta dalam eFishery pada Julai 2023.
Tahun lalu, pengasas bersama eFishery, Gibran Huzaifah, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh sebuah mahkamah di Bandung, Indonesia, selepas disabitkan bersalah atas kesalahan pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram.
Dalam pada itu, Anwar berkata, untung bersih KWAP meningkat kepada RM12.9 bilion, dengan mencatatkan pertumbuhan dana sebanyak 9.3 peratus hasil kepintaran panel pelaburan, pengurusan dan lembaga itu.
Tambahnya, dakwaan bahawa KWAP hanya melabur dalam syarikat asing adalah tidak benar sebaliknya ia turut melabur dalam syarikat tempatan antaranya menerusi program GEAR-uP.
Anwar juga memberitahu, institusi kewangan dan firma bertaraf dunia juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, sambil merujuk kepada Goldman Sachs yang terpalit dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
“Ini satu pengajaran dan peringatan untuk kita,” kata Perdana Menteri. - 20 Julai, 2026
The post SPRM perlu siasat proses pelaburan, keputusan panel pelaburan KWAP : PM appeared first on Scoop.






