SPRM: RM23.91 juta lagi aset 1MDB diperoleh semula termasuk daripada sekutu Jho Low, bekas pegawai Najib Razak
herman
08/02/2024 - 14:50
KUALA LUMPUR 8 Feb - Harta milik sekutu Jho Low dan bekas pegawai Datuk Seri Najib Tun Razak antara aset dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM23.91 juta yang berjaya diperoleh semula dalam tempoh 2023 hingga 5 Februari lalu.
Harta RM11.75 juta milik Jerome Lee dan isteri yang juga sekutu Low Thaek Jho itu diperoleh menerusi proses mahkamah Isnin lalu manakala Datuk Amhari Effendi, bekas pegawai khas Najib pula memulangkan RM4.55 juta secara sukarela kepada Kerajaan Malaysia menerusi pindahan wang dari BSI Bank Switzerland.
Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), keseluruhannya wang dan aset RM23.91 juta itu melibatkan lima individu dan telah dipulangkan semula kepada Kerajaan Malaysia menerusi proses lucuthak termasuk di mahkamah selain penyerahan secara sukarela.
"Kejayaan memperoleh semula wang ini adalah susulan daripada proses menjejak dan memperoleh semula dana 1MDB yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM pada tahun 2023 dan terbaharu pada 5 Februari 2024," katanya dalam kenyataan hari ini.
Secara keseluruhannya dari tahun 2019 dan sehingga kini, sebanyak RM29.03 bilion aset 1MDB telah berjaya dipulangkan menerusi kerjasama SPRM bersama Pasukan Petugas Khas Pemulihan Aset 1MDB (PPA1M) selain kerjasama daripada agensi luar negara.
Menurut SPRM, pada Isnin lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan harta-harta milik sekutu Jho Low iaitu Jerome Lee Tak Loong dan isterinya, Koay Ying Ying di Malaysia dan di Singapura yang keseluruhannya berjumlah RM11.75 juta dilucuthak kepada SPRM.
Katanya, permohonan lucuthak ini telah dibuat di bawah Seksyen 56 dan Seksyen 64 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
"Pada 29 September 2023, wang berjumlah AS$972,251 atau bersamaan RM4.55 juta telah berjaya dipulangkan kepada Kerajaan Malaysia menerusi penyerahan secara sukarela oleh Datuk Amhari Effendi iaitu Pegawai Khas kepada Datuk Seri Najib Razak, menerusi pindahan wang dari BSI Bank Switzerland," jelas SPRM.
Turut terlibat dilucuthak ialah harta seorang lagi pegawai Najib, Mohammad Kamal Yan Yahaya yang merupakan Pegawai Penasihat Hal Ehwal Luar Negeri bekas Perdana Menteri itu.
"Pada 8 November 2023, Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur telah memberikan perintah melucuthak tiga unit kondominium berjumlah RM7.05 juta milik Mohammad Kamal Yan.
"Individu ini telah menerima dana 1MDB menerusi Projek Magnolia, Projek Maximus dan Projek Catalyze ke dalam akaun syarikat Spring Elite International Limited di BSI Bank, Singapura, di mana dirinya mempunyai kepentingan," kata SPRM.
Kata Suruhanjaya itu, individu seterusnya merupakan pegawai 1MDB, Nurzahid Taib melibatkan wang berjumlah RM556,275 yang telah berjaya diperoleh pada 30 Ogos 2023.
"Nurzahid telah menerima dana 1MDB bagi Projek Maximus dan Projek Catalyze yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat Turquoise Coast Offshore Incorporated, di mana individu ini mempunyai kepentingan.
"Wang ini telah diperoleh menerusi Perintah Pelepasan Akaun di bawah Seksyen 60 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) pada 26 Jun 2023," ujarnya.
Sementara itu, jelas SPRM, proses pemulihan aset ini telah diperoleh susulan perbicaraan ke atas bekas pegawai bank di Goldman Sachs, Ng Chong Hwa atau Roger Ng di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, Amerika Syarikat pada Februari 2022 atas dakwaan bersubahat dalam penyelewengan dana 1MDB.
Permohonan lucuthak ini telah dibuat di bawah Seksyen 56 dan Seksyen 64 AMLATFPUAA 2001.- DagangNews.com


