SPRM serbu anak syarikat NationGate susulan dakwaan penyeludupan logam sekerap

LocalPolitics
15 Jul 2025 • 2:13 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Serbuan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ke atas premis NationGate Solution (M) Sdn Bhd semalam adalah sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan penyeludupan logam sekerap.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, NationGate Holdings Bhd, yang merupakan penyedia perkhidmatan elektonik (EMS) memberitahu serbuan ke atas premis anak syarikat milik penuhnya itu dijalankan pada Isnin.

Terdahulu, SPRM telah menggempur sindiket penyeludupan besi buruk di lima negeri yang dipercayai membayar rasuah kepada penguat kuasa sehingga menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai eksport mencecah lebih RM950 juta.

Menurutnya, lembaga pengarah syarikat memandang serius dakwaan tersebut dan telah mengambil langkah proaktif untuk memberi kerjasama penuh kepada SPRM serta memastikan integriti siasatan terpelihara.

Lembaga pengarah juga, katanya akan mengumumkan perkembangan penting dalam mematuhi Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia Securities Bhd dan seperti dikehendaki undang-undang, lapor Bernama.

“Syarikat kami kekal komited terhadap piawaian tertinggi dalam tadbir urus korporat, akauntabiliti dan ketelusan.”

“Lembaga pengarah memberi jaminan kepada para pemegang kepentingan bahawa mereka akan sedaya upaya memastikan operasi perniagaan tidak terjejas, dan langkah sementara yang sesuai telah diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum rehat tengah hari, saham NationGate diniagakan lapan sen atau 4.97% lebih tinggi pada RM1.69 sesaham, dengan 27.12 juta unit saham bertukar tangan.

Terdahulu, SPRM telah menggempur sindiket penyeludupan besi buruk di lima negeri yang dipercayai membayar rasuah kepada penguat kuasa sehingga menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai eksport mencecah lebih RM950 juta.

Bernama melaporkan, serbuan dijalankan oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM menerusi Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF) membabitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) di 19 lokasi sekitar Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor serta Kedah.

Operasi khas ‘Op Metal’ yang turut disertai anggota Skuad Taktikal Antirasuah (ACTS) SPRM itu menyerbu enam lokasi di Pulau Pinang semalam termasuk rumah, pejabat serta tempat penyimpanan dan pemprosesan besi buruk yang dipercayai terlibat dalam kegiatan tersebut.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, serbuan di lima negeri berkenaan melibatkan pengilang dan syarikat yang mengeksport besi ke luar negara.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Katanya siasatan turut memberi fokus pada mengenal pasti individu terlibat termasuk penjawat awam yang melindungi kegiatan tersebut. - 15 Julai, 2025