SPRM siasat tawaran pengambilalihan Sunway ke atas IJM kerana membabitkan dana awam

LocalPolitics
4 Mar 2026 • 2:19 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SPRM siasat tawaran pengambilalihan Sunway ke atas IJM kerana membabitkan dana awam image is not available hamden04/03/2026 - 14:19 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Mac - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan berkaitan tawaran pengambilalihan Sunway Bhd ke atas IJM Corp Bhd yang kini dalam proses rundingan.

 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, perkara itu dibangkitkan selepas agensi menerima laporan mengenai tawaran tersebut, yang melibatkan pemegang saham termasuk syarikat berkaitan kerajaan.

 

“Ini menjadi perhatian kami kerana ia melibatkan dana awam. Kami sedang meneliti sama ada terdapat unsur rasuah, penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran tadbir urus dalam perkara ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM Putrajaya hari ini.

 

Azam berkata, dengan siasatan terkini itu menjadikan jumlah keseluruhan kertas siasatan yang dibuka terhadap IJM sebanyak tiga.

 

“Siasatan pertama melibatkan kesalahan pengubahan wang haram yang disyaki melibatkan kira-kira RM2.5 bilion yang dilaburkan di United Kingdom. SPRM kini bekerjasama dengan pihak berkuasa di sana untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

 

Pada 12 Januari, Sunway mencadangkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk memperoleh kesemua 3.51 bilion saham IJM pada harga RM3.15 sesaham.

 

Kumpulan itu berkata, sekiranya tawaran tersebut diterima sepenuhnya tanpa sebarang penyesuaian harga, jumlah pertimbangan adalah kira-kira RM11 bilion, yang akan dibayar melalui gabungan tunai dan penerbitan saham biasa baharu Sunway.

 

Sunway menjangkakan tawaran ini akan diselesaikan pada suku ketiga 2026.

 

Dalam tawaran tunai dan saham pada Januari lalu, Sunway menilai kumpulan pembinaan dan hartanah berinfrastruktur itu pada RM3.15 sesaham atau RM11 bilion.

 

Pemegang saham IJM yang terlibat termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan lebih 20% kepentingan, diikuti Permodalan Nasional Bhd (13.5%), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (9.64%), Urusharta Jamaah Sdn Bhd milik Kementerian Kewangan (2.84%) dan Lembaga Tabung Haji (1.47%).

 

KWSP juga memiliki 9.45% saham dalam Sunway.

 

Dalam perkembangan berkaitan, IJM telah memperoleh lanjutan tarikh akhir bagi penyerahan dokumen pekeliling bebas kepada pemegang saham, daripada 16 Mac ke tarikh baharu, dan tawaran pengambilalihan itu kini dibuka untuk penerimaan sehingga 6 April. - DagangNews.com

Terkini featured standard