SPRM siasat tiga kes rasuah, tuntutan palsu projek sambungan Lebuh Raya MEX

23/05/2025 - 09:53
KUALA LUMPUR 23 Mei - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka tiga kertas siasatan berkaitan dakwaan rasuah dan tuntutan palsu membabitkan projek sambungan Lebuh Raya Maju (MEX Extension) sepanjang 18 kilometer.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan itu melibatkan penyelewengan dana yang diperoleh melalui terbitan sukuk berjumlah RM1.3 bilion.
Antara yang ditahan termasuk seorang individu bergelar 'Datuk Seri'.
Menurutnya, kes pertama melibatkan tuntutan palsu bernilai RM361 juta yang dipercayai menggunakan dana sukuk.
"Kes kedua pula membabitkan pendedahan maklumat palsu melibatkan RM416 juta hasil sukuk dan pinjaman bank RM50 juta, manakala kes ketiga melibatkan individu yang didakwa meminta serta menerima rasuah hampir RM12 juta," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, seperti laporan The Edge.
Setakat ini, sembilan individu telah ditahan, sementara 31 lagi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
SPRM turut merampas wang tunai RM2.9 juta, dua kereta mewah iaitu Porsche 911 dan Range Rover Sport bernilai keseluruhan RM900,000, serta membekukan akaun bank bernilai RM34 juta.
Projek Sambungan Lebuh Raya Maju yang menghubungkan Persimpangan MEX Putrajaya ke Lebuh Raya KLIA, sepatutnya siap pada Disember 2019, namun tertangguh akibat masalah kewangan syarikat konsesi, MEX II Sdn Bhd.
MEX II dimiliki oleh Maju Holdings Sdn Bhd, yang juga pemilik syarikat pengendali lebuh raya asal, Maju Expressway Sdn Bhd.
Syarikat itu menerbitkan sukuk bagi membiayai projek sambungan tersebut, tetapi mula gagal membayar pulangan kepada pemegang sukuk sejak tahun 2021.
Walaupun tempoh pembayaran telah dilanjutkan, CIMB Investment Bank Bhd sebagai ejen penyelaras akhirnya menggantung sukuk tersebut pada akhir tahun 2021.
Projek berkenaan kini terbengkalai selepas usaha penstrukturan semula gagal dan pentadbir dilantik untuk mengambil alih syarikat.
Sebelum ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan, kementeriannya sedang bekerjasama rapat dengan pihak-pihak berkaitan bagi menyelesaikan isu kelewatan projek MEX II. - DagangNews.com
featured standard

