SPRM siasat tuntutan bayaran tender 1BestariNet

LocalPolitics
4 Sep 2024 • 4:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
SPRM memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pelajaran Malaysia. Foto hiasan

image is not available
Hishamuddin

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pelajaran Malaysia bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada tahun 2011.

Menurut sumber, SPRM telah membuat penggeledahan ke atas pejabat kerajaan dan pejabat YTL Communications Sdn Bhd di Kuala Lumpur pada Rabu.

“Hasil penggeledahan tersebut, sejumlah dokumen telah disita dan SPRM sedang mengenal pasti saksi-saksi yang akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Siasatan menjurus kepada mengemukakan dokumen tuntutan yang mengandungi butir matan palsu melibatkan pembayaran lebih kurang RM2.7 bilion,” katanya.

Sumber berkata, fokus siasatan SPRM juga menjurus kepada elemen jenayah lain yang tertakluk di bawah Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan kes disiasat di bawah seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Beliau turut menyeru semua pihak agar memberi ruang dan masa kepada SPRM bagi melaksanakan siasatan tanpa sebarang gangguan.