SPRM syor empat penambahbaikan tatakelola PERKASA

LocalPolitics
14 Mar 2026 • 2:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
SPRM Kuala Lumpur mengemukakan empat cadangan penambahbaikan tatakelola kepada Persatuan Pegawai Kanan Malaysia (PERKASA) bagi memperkukuh pengurusan sumbangan dana dan tajaan daripada syarikat atau entiti luar.
image is not available
Pengarah SPRM KL, Mohamad Zakkuan Talib (kiri) menerima dokumen Laporan Penambahbaikan Tatakelola daripada Presiden PERKASA Pusat, Mohd Asri Seman di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur mengemukakan empat cadangan penambahbaikan tatakelola kepada Persatuan Pegawai Kanan Malaysia (PERKASA) bagi memperkukuh pengurusan sumbangan dana dan tajaan daripada syarikat atau entiti luar.

Cadangan tersebut dibentangkan dalam satu sesi yang diketuai Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib kepada Presiden PERKASA Pusat, Mohd Asri Seman di Bahagian Pengurusan Pematuhan, Presint 2 di sini pada Khamis.

Mohamad Zakkuan berkata, antara syor yang dikemukakan ialah memastikan permohonan sumbangan oleh PERKASA tidak ditujukan kepada syarikat yang mempunyai urusan rasmi secara langsung dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

"Langkah itu penting bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan yang boleh menjejaskan integriti pengurusan sumbangan dana persatuan.

**media[3463249]**

"Selain itu, program yang dibiayai melalui sumbangan juga wajar bersifat inklusif supaya manfaatnya tidak tertumpu hanya kepada pegawai kanan, sebaliknya turut memberi manfaat kepada komuniti secara lebih meluas,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, SPRM turut mencadangkan supaya setiap permohonan sumbangan mendapatkan kelulusan rasmi Ketua Pengarah JKDM sebelum disalurkan kepada PERKASA.

Katanya, kaedah itu dapat memastikan proses permohonan, penilaian dan penerimaan sumbangan dilaksanakan secara telus serta dipantau di peringkat institusi.

"Tatacara pengurusan sumbangan dana dan tajaan sedia ada juga perlu ditambah baik dengan memperincikan kriteria sumbangan yang dibenarkan.

"Penambahbaikan ini penting bagi memastikan pengurusan dana persatuan diuruskan secara lebih telus, berintegriti dan berakauntabiliti,” katanya.

Mohamad Zakkuan berkata, syor yang dikemukakan itu diharap dapat memperkasakan sistem tatakelola PERKASA sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap pengurusan sumbangan dana persatuan.

Sementara itu, Mohd Asri berkata, PERKASA menyambut baik cadangan yang dikemukakan SPRM Kuala Lumpur.

"Cadangan tersebut selari dengan prinsip integriti yang ditegaskan oleh persatuan PERKASA.

"PERKASA bersedia melaksanakan semua cadangan penambahbaikan yang dikemukakan tanpa kompromi,” katanya.

Pada sesi pembentangan itu, turut diadakan majlis menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola sebagai simbolik persetujuan antara PERKASA dan SPRM Kuala Lumpur.

Turut hadir Ketua Cawangan Integriti JKDM, Azian Umar; Timbalan Presiden PERKASA Pusat, Ab Halim Assar; Setiausaha Agong PERKASA Pusat, Saiful Azmi Yusof; Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Kuala Lumpur, Noor Azeana Azis serta Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola SPRM Kuala Lumpur, Mohd Hafifi Rahmat.

 

 

View Original Article