SPRM tahan Menteri Besar Perlis

30 Apr 2024 • 12:54 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli bagi membantu siasatan yang sedang berlangsung ke atas anak lelakinya.

Bercakap kepada Scoop, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pemimpin itu ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 10 pagi tadi.

Menurut beliau, SPRM turut menjalankan siasatan terhadap Menteri Besar itu mengenai salah guna kuasa.

Baru-baru ini, SPRM memberitahu sedang menyiasat seorang pemimpin kanan di utara tanah air kerana disyaki telah melantik beberapa syarikat yang mempunyai kepentingan dengannya membabitkan beberapa projek pembekalan melibatkan peruntukan bernilai kira-kira RM300,000.

image is not available
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya turut menjalankan siasatan terhadap Menteri Besar Perlis mengenai salah guna kuasa - Riduan Rizal Ahmad/Scoop, 30 April, 2024

Sumber memberitahu, pemimpin tersebut juga disyaki melantik beberapa syarikat bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan jalan yang melibatkan peruntukan Pejabat Menteri Besar kira-kira RM1 juta yang mana syarikat-syarikat tersebut mempunyai kepentingan dengan anaknya.

Beliau berkata, projek-projek tersebut juga dipercayai dimonopoli oleh anak pemimpin tersebut dengan menggunakan beberapa lesen syarikat-syarikat di bawah kawalannya.

“Kesalahan tersebut dipercayai dilakukan dari Januari 2023 hingga Mac 2024 dan syarikat-syarikat tersebut turut disyaki telah mengemukakan dokumen yang mempunyai butiran matan palsu bagi kerja-kerja tersebut selain diberikan komisen kira-kira lima peratus daripada nilai projek.

“Setakat ini sebanyak 15 buah syarikat telah dikenal pasti dikawal oleh anak pemimpin tersebut dan antara kerja-kerja yang dilakukan adalah melibatkan pembekalan air mineral serta pembekalan hamper dan cenderahati,” kata sumber tersebut.

Terdahulu, SPRM menahan reman anak Menteri Besar Perlis itu berhubung siasatan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Namun dia dibebaskan dengan jaminan SPRM. - 30 April, 2024

The post SPRM tahan Menteri Besar Perlis appeared first on Scoop.