
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tujuh lelaki dipercayai ejen kastam kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah sehingga menyebabkan ketirisan cukai kastam berjumlah kira-kira RM33 juta.
Sumber SPRM memaklumkan kesemua yang berusia lingkungan 30 hingga 60 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Kedah antara 5 petang dan 10.30 malam pada Khamis ketika hadir memberi keterangan.
Menurut sumber itu kesemua mereka yang dipercayai bersubahat bersama pemilik kereta terlibat telah mengemukakan dokumen mempunyai maklumat palsu bagi tujuan mendapatkan pengurangan penilaian duti kastam sedangkan kenderaan tersebut tidak layak menerimanya.
“Susulan penahanan itu, Majistret Nurshahida Abdul Rahim membenarkan semua suspek direman hingga 17 Julai ini setelah SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Alor Setar pagi tadi,” katanya.
Difahamkan, dalam operasi yang dilakukan oleh Bahagian Operasi Khas itu, SPRM juga telah menyerbu beberapa premis perniagaan, pejabat agensi kerajaan serta kediaman di sekitar Lembah Klang, Kedah, Johor, Perak dan Sabah.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan mereka disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. -Bernama
