SPRM tambah empat pegawai integriti di Kementerian Pertahanan

LocalPolitics
22 Jan 2026 • 4:10 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menempatkan empat lagi pegawai integriti di Kementerian Pertahanan dalam tempoh enam bulan, susulan dakwaan wujudnya kartel tender tentera.

Ketika ini, dua pegawai integriti telah pun berkhidmat di kementerian berkenaan sejak dua tahun lalu, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

“Pegawai integriti ini bukan hendak menjalankan siasatan (kes), namun nak tengok cara mana perolehan dibuat, sesuatu cadangan dan sebagainya. Termasuk untuk tentera darat, laut dan udara.

Buat satu kajian dan semakan untuk mengelakkan kebocoran serta kelemahan dan sebagainya,” katanya lapor Harian Metro pada Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media di Kota Bharu.

Azam menjelaskan, langkah itu diambil selepas pertemuannya dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin, yang turut membincangkan isu ketirisan dalam kementerian, termasuk perolehan tender dan sebut harga.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Hafizuddeain Jantan, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.197 juta. Isterinya, Salwani Anuar, turut mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan rasuah bernilai RM77,000.

SPRM sebelum ini hadir ke Kementerian Pertahanan pada 23 Disember lalu bagi menyiasat beberapa projek perolehan melalui tender terbuka dan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat sejak 2023. Susulan siasatan itu, enam akaun bank milik pegawai dan ahli keluarga telah disita. - 22 Januari, 2026

The post SPRM tambah empat pegawai integriti di Kementerian Pertahanan appeared first on Scoop.