SPRM Teliti Dakwaan Seleweng Pelaburan RM1.11 Bilion Libat Bekas Menteri Kanan

LocalPolitics
13 Feb 2026 • 4:58 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

GENTING HIGHLAND - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti dokumen berhubung penyelewengan pelaburan berjumlah kira-kira RM1.11 bilion, yang didakwa melibatkan seorang bekas menteri kanan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya berkata, laporan rasmi berhubung perkara itu telah diterima daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kini dalam proses semakan awal.

Menurutnya, penelitian menyeluruh sedang dibuat bagi menentukan sama ada wujud unsur rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah atau pelanggaran tadbir urus di bawah peruntukan sedia ada, termasuk akta SPRM 2009. 

“Keutamaan ketika ini adalah untuk menyemak dan menilai semua dokumen serta maklumat yang dikemukakan sebelum sebarang keputusan dibuat untuk membuka kertas siasatan,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Penutupan Bengkel Kewartawanan SPRM, di sini, hari ini. 

Laporan berkenaan difahamkan menyentuh persoalan berkaitan proses rundingan serta kelulusan pelaburan yang didakwa tidak melalui prosedur sewajarnya, atau tidak melibatkan sepenuhnya agensi berkaitan. 

Bagaimanapun tegas Ahmad Khusairi, siasatan hanya akan dimulakan sekiranya terdapat asas dan elemen kesalahan yang jelas selepas penelitian dibuat.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pihaknya akan memperhebat tindakan terhadap ejen, orang tengah dan pelobi yang dikenal pasti sebagai antara faktor utama menyuburkan amalan rasuah dalam sistem pentadbiran.

Katanya, pendekatan baharu itu akan memberi tumpuan kepada individu yang bertindak sebagai penghubung antara sindiket atau pihak berkepentingan dengan penjawat awam, termasuk dalam kes membabitkan kartel perolehan kerajaan serta kemasukan pekerja asing secara tidak sah.

“Dalam banyak kes, ejen dan orang tengah memperoleh keuntungan jauh lebih besar berbanding pegawai yang menerima rasuah, sekali gus menjadikan mereka ‘dalang’ yang menggerakkan keseluruhan transaksi tidak sah.

“Jika kita hanya tangkap pegawai, sistem itu akan terus hidup kerana orang tengah masih beroperasi. Jadi fokus kini adalah memutuskan rantaian tersebut,” katanya. - Getaran, 13 Februari 2026