SRC Sedia Runding Rakaman Rasmi ‘Cinta Tersimpul Rapi’ Bersama Jane In Heaven

EntertainmentMusic
27 Feb 2026 • 8:22 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Syarikat rakaman Suria Records (SRC) memaklumkan mereka terbuka untuk mengadakan rundingan rasmi bagi merakamkan semula lagu Cinta Tersimpul Rapi bersama Jane In Heaven susulan tularnya versi kecerdasan buatan (AI) lagu berkenaan di media sosial.

Dalam satu kenyataan rasmi, SRC menjelaskan pihaknya tidak menolak perkembangan teknologi AI dalam industri kreatif, malah mengiktiraf inovasi tersebut sebagai satu trend semasa. Namun begitu, mereka menegaskan bahawa aspek hak cipta karya asal perlu terus dihormati dan dilindungi.

Menurut SRC, tindakan meminta penurunan (take down) video versi AI yang menggunakan nyanyian asal Anis Suraya sebelum ini dibuat bagi memastikan setiap bentuk pengedaran karya berlaku melalui saluran yang sah.

Memetik laporan Harian Metro, SRC berkata langkah berkenaan bukan bertujuan menyekat kreativiti, sebaliknya bagi memastikan pengurusan karya berjalan secara teratur dan adil kepada semua pihak termasuk komposer, penulis lirik serta artis asal.

“Langkah ini bukan bertujuan menyekat kreativiti, tetapi bagi memastikan pengurusan karya berjalan secara teratur dan adil kepada semua pihak termasuk komposer, penulis lirik dan artis asal,” menurut kenyataan itu.

Terbuka Untuk Versi Sah Di Platform Rasmi

Dalam masa sama, SRC memaklumkan mereka menghargai susunan muzik versi yang mendapat perhatian ramai itu dan bersedia untuk menerbitkan rakaman rasmi secara sah bersama Jane In Heaven agar peminat dapat menikmatinya di platform penstriman yang betul.

Perkembangan itu dilihat sebagai pendekatan lebih profesional dalam mengimbangi kreativiti kandungan digital dengan kepentingan pemegang hak cipta.

Intan Maya Rakam Versi Baharu

SRC turut mengumumkan bahawa lagu malar segar berkenaan kini diberi nafas baharu menerusi rakaman semula oleh artis naungan mereka, Intan Maya.

Menurut syarikat itu, rakaman versi Intan Maya sebenarnya sudah termasuk dalam perancangan awal sebelum lagu berkenaan menjadi tular di media sosial menerusi versi AI.

“Kami berharap penjelasan ini dapat memberi gambaran lebih jelas kepada semua. SRC kekal komited menyokong kreativiti, melindungi karya asal serta memastikan industri muzik tempatan berkembang dalam suasana saling menghormati,” jelas kenyataan tersebut.

Terdahulu, pemilik akaun YouTube dan media sosial, Jane In Heaven turut mengumumkan bahawa lagu versi AI berkenaan telah diturunkan daripada platform mereka. – The Malaysian Update

The post SRC Sedia Runding Rakaman Rasmi ‘Cinta Tersimpul Rapi’ Bersama Jane In Heaven appeared first on The Malaysian Update.