SRPM tetapkan tempoh dua minggu James Chai hadir, sedia tanggung kos penerbangan

LocalPolitics
1 Apr 2026 • 12:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
SPRM mengeluarkan surat pada Rabu dan menetapkan bekas pegawai Datuk Seri Rafizi Ramli iaitu Chai Jin Shern atau James Chai untuk hadir dalam tempoh dua minggu.

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan surat pada Rabu dan menetapkan bekas pegawai Datuk Seri Rafizi Ramli iaitu Chai Jin Shern atau James Chai untuk hadir dalam tempoh dua minggu.

Ini bagi membantu siasatan dakwaan penyelewengan berkaitan perjanjian mega dengan ARM Holdings Plc, syarikat semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom (UK).

SPRM dalam kenyataan berkata, Chai Jin Shern atau James Chai telah dikenal pasti sebagai individu yang diperlukan untuk membantu siasatan.

Menurutnya, pada 4 Mac 2026, SPRM telah mengeluarkan Notis Mengesan Individu bagi mengesan James Chai.

"Susulan itu, SPRM menerima surat daripada Tetuan individu terbabit bertarikh 9 Mac 2026 yang memaklumkan bahawa James Chai tidak dapat hadir untuk dirakam percakapan dengan alasan kos penerbangan dan kekangan pekerjaan.

"SPRM kemudiannya telah mengeluarkan surat balas bertarikh 13 Mac 2026 memberi lanjutan masa untuk James Chai hadir pada 31 Mac 2026, namun beliau sekali lagi gagal memaklumkan keinginan untuk hadir.

"Sehubungan itu, SPRM telah mengeluarkan surat pada hari ini (Rabu) yang menetapkan bahawa James Chai perlu hadir dalam tempoh dua minggu dan SPRM juga bersedia untuk menanggung kos penerbangan pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

SPRM menjelaskan sekiranya James Chai masih gagal hadir setelah diberikan lanjutan masa sebanyak dua kali, pihaknya akan mempertimbangkan untuk mendapatkan kerjasama saluran antarabangsa termasuk Polis Antarabangsa (Interpol) atau agensi penguatkuasaan luar negara bagi mengesan dan memastikan kehadirannya.

SPRM menegaskan bahawa semua individu yang dipanggil untuk membantu siasatan wajib memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

"Sekiranya James Chai berpendirian bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan, tindakan yang sewajarnya adalah tampil memberi keterangan kepada SPRM, bukannya terus mengemukakan penjelasan di ruang awam tanpa menghadirkan diri kepada pihak berkuasa," ujarnya.

Jelas SPRM, tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang dan siasatan akan diteruskan secara profesional, bebas dan berasaskan bukti.

Dalam pada itu, SPRM memaklumkan telah merekod keterangan 17 saksi melibatkan pegawai Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

"Siasatan berkaitan kes ini sedang giat dijalankan.

"SPRM juga telah mengambil dokumen penting termasuk perjanjian dan dokumen sokongan serta dijangka akan merakam percakapan lapan lagi saksi, termasuk individu yang berada di luar negara," ujarnya.

Pada 12 Februari, SPRM menerima laporan berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan RM1.11 bilion melibatkan bekas menteri kanan sebuah kementerian.