SSM lanjut insentif pengurangan kompaun hingga 31 Oktober ini

LocalBusiness & Finance
28 Jul 2022 • 11:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melanjutkan insentif pengurangan kompaun bagi membantu syarikat pasca pemulihan ekonomi negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelanjutan pengurangan kompaun di bawah Akta Syarikat 1965 ini bermula pada 1 Julai sehingga 31 Oktober ini.

“Di bawah insentif ini syarikat dan pengarah syarikat layak mendapat pengurangan sehingga 90 peratus daripada nilai asal kompaun bagi semua kompaun yang telah ditawarkan di bawah Akta Syarikat 1965.

“Sebelum ini, insentif berkenaan telah dilaksanakan selama empat bulan iaitu bermula pada 1 Mac dan tamat pada 30 Jun 2022,” katanya sewaktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) yang bertanyakan adakah SSM akan melaksanakan pengurangan kompaun tahun ini untuk membantu syarikat pasca pemulihan ekonomi negara.

Tambah Nanta, mana-mana pihak boleh membuat semakan status kompaun melalui laman web rasmi atau emel kepada SSM atau hadir di mana-mana pejabat SSM di seluruh Malaysia.