Staf KPKT Menang AiSPA, Nga Kor Ming Sumbang Sebulan Gaji Sebagai Hadiah

11 Nov 2023 • 1:40 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

image is not available
nga kor ming

Menteri KPKT, YB Nga Kor Ming difahamkan telah menyumbangkan sebulan gaji miliknya sebagai hadiah kepada pemenang-pemenang Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 7 November 2023 yang lalu.

Hal ini dikongsikan sendiri Menteri di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi saluran X apabila memaklumkan yang hadiah dari gajinya itu diberikan kepada kakitangan KPKT yang berjaya memenangi AiSPA sebagai pengiktirafan jasa dan bakti mereka.

Difahamkan, KPKT melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah melakar sejarah apabila inovasi peranti Audio Frequency Intercept System (AFIS) berjaya menjadi Johan sekaligus membawa pulang ganjaran wang tunai RM1 juta, trofi dan sijil pada pertandingan Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) Tahun 2023.

Inovasi peranti Audio Frequency Intercept System (AFIS) turut dinobatkan sebagai Johan (Trek Keselamatan dan Pentadbiran) bagi Anugerah Inovasi Sektor Awam (AInSA) 2023. Di samping itu juga, KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) turut merangkul Johan (Trek Ekonomi) bagi Anugerah Inovasi Sektor Awam (AInSA) 2023 melalui PBTPay- Inovasi Gerbang e-Pembayaran Berpusat Sektor Awam yang menawarkan hadiah kemenangan masing-masing berjumlah RM200,000, trofi dan sijil.

image is not available

 

Projek inovasi PBTPay pula merupakan hasil cetusan inovasi pada tahun 2020 daripada Kumpulan Outstanding 9 (OS9), yang dianggotai oleh seramai sembilan (9) orang pegawai dari Bahagian Teknologi Maklumat dan Dasar, JKT. Ini bertujuan bagi mengatasi masalah pembayaran bil-bil perkhidmatan di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“PBTPay telah memberikan impak tinggi bukan sahaja kepada PBT bahkan yang paling lebih utama sekali adalah kepada rakyat, peniaga, pelabur dan agensi Kerajaan. Sejak dilaksanakan pada tahun 2020 dan sehingga kini, kutipan di PBTPay telah mencecah sebanyak RM540 juta dan dijangka akan mampu mencapai kutipan sehingga RM1 bilion menjelang tahun 2025.”YB Tuan Nga Kor Ming.

image is not available

Beliau juga berkata yang kejayaan kedua-dua inovasi ini merupakan satu kebanggaan buat warga KPKT dan perkhidmatan awam secara keseluruhannya. Saya berharap warga KPKT akan terus membudayakan budaya kerja unggul dan cemerlang. Ini merupakan asas kepada peningkatan produktiviti sesebuah organisasi dalam mendokong konsep Malaysia MADANI.

Terdahulu, Anugerah telah disampaikan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar bin Ibrahim. Turut hadir Menteri KPKT, YB Tuan Nga Kor Ming; Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali dan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Wira M Noor Azman bin Taib.