Standard Chartered Malaysia terus bantu usahawan PKS tangani cabaran kewangan
zulfadli
04/07/2023 - 11:38
KUALA LUMPUR 4 Julai - Standard Chartered Malaysia dan Standard Chartered Saadiq Malaysia terus membantu pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mereka yang menghadapi kesukaran dalam membayar balik hutang berikutan kesan kenaikan kos pinjaman disebabkan cabaran persekitaran perniagaan, baru-baru ini.
Bank tersebut memaklumkan, untuk menyokong peminjam perniagaan kecil, langkah bank untuk mengurangkan beban mereka dalam tempoh ini termasuk:
- Bantuan penjadualan dan penstrukturan semula - Pengurus perhubungan dan pelanggan akan membincangkan pengurusan aliran tunai dan mencadangkan pelan pembayaran balik yang sesuai dengan keadaan kewangan individu, berdasarkan kes demi kes.
- Bayaran faedah sahaja - Pilihan untuk pelanggan hanya membayar faedah ke atas pinjaman mereka, untuk menurunkan jumlah pembayaran balik dan meminimumkan gangguan aliran tunai daripada kenaikan faedah secara mendadak, manakala tempoh pinjaman keseluruhan akan dilanjutkan.
- Bantuan khas untuk usahawan wanita - Moratorium pokok enam bulan untuk pinjaman pembayaran balik di bawah program Rangkaian Antarabangsa Wanita Bertauliah Standard (SC WIN).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Mak Joon Nien berkata, pihaknya memahami bahawa peminjam terutamanya perniagaan kecil, mungkin lebih sukar untuk membayar balik ansuran bulanan mereka untuk pinjaman dengan kadar faedah terapung sejak kebelakangan ini.
"Sebagai kesejahteraan pelanggan yang tetap menjadi keutamaan, kami berharap pilihan pembayaran balik kewangan ini dapat membantu memudahkan beban kewangan mereka, di tengah-tengah pelbagai cabaran yang dihadapi dalam mengembangkan dan mengekalkan perniagaan," katanya dalam kenyataan media di sini.
Pelanggan juga boleh mengoptimumkan simpanan atau deposit cair mereka melalui akaun SmartBusiness$aver yang akan membolehkan mereka memperoleh kadar faedah sehingga 2.88%.
Untuk mengetahui lebih lanjut, atau memohon bantuan kewangan, PKS boleh berhubung dengan pengurus perhubungan atau menghubungi talian 1300-888-888 (dalam Malaysia) atau +603-7711 8888 (di luar Malaysia).
Pelanggan juga diingatkan supaya berhati-hati dengan penipuan dan tidak berurusan dengan mana-mana pihak ketiga yang mendakwa menjadi ejen atau wakil Standard Chartered Malaysia, kerana bank tidak melantik atau melibatkan mereka untuk tujuan ini. - DagangNews.com



