johardy09/11/2026 - 15:45 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com MELAKA 9 Nov - Malaysia akan memulakan projek pembangunan standard penggredan minyak gaharu selama enam bulan mulai bulan ini bagi meningkatkan keyakinan pembeli dan memperkukuh jenama Malaysian Oud di pasaran antarabangsa.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, projek itu merupakan langkah awal ke arah pembangunan Sistem Penggredan Gaharu Kebangsaan yang diusahakan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) bersama institusi penyelidikan dan pakar industri.
Menurutnya, standard penggredan yang jelas penting bagi memastikan ekstrak minyak gaharu tempatan mempunyai identiti tersendiri, sekali gus memperkukuh kedudukan jenama Malaysian Oud pada peringkat global.
“Untuk bersaing di pasaran global, gaharu Malaysia memerlukan identiti tersendiri dan dalam hal ini, MTIB sedang bergerak ke arah Sistem Penggredan Gaharu Kebangsaan.
“Standard ini penting untuk meningkatkan keyakinan pembeli dan memperkukuh jenama Malaysian Oud di peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Usahawan Agrikomoditi 2026 di Mahkota Parade di sini hari ini.

456 pengusaha berdaftar dengan MTIB
Sehingga September 2026, seramai 456 pengusaha tanaman gaharu berdaftar dengan MTIB membabitkan kira-kira 2.3 juta pokok Aquilaria atau dikenali sebagai pokok karas, manakala hampir 100 pengusaha baharu menyertai industri itu dalam tempoh kurang setahun, katanya.
Noraini berkata, kerajaan menerusi MTIB menyediakan insentif inokulasi sebanyak RM100 bagi setiap pokok, dengan peruntukan berjumlah RM1.76 juta diluluskan melibatkan 161 pengusaha setakat ini.
Selain itu, MTIB turut menyediakan insentif penyulingan minyak bagi membantu usahawan meningkatkan nilai tambah produk gaharu.
Beliau berkata, potensi industri itu bukan sahaja tertumpu kepada pengeluaran kayu gaharu dan minyak pati untuk pembuatan kosmetik, aromaterapi serta minyak wangi.
Daun pokok karas juga boleh dipelbagaikan kepada produk seperti teh, kopi dan biskut, katanya.
Malaysia mempunyai lima daripada 22 spesies pokok Aquilaria yang terdapat di seluruh dunia, termasuk Aquilaria malaccensis yang namanya merujuk kepada Melaka.
Festival Usahawan Agrikomoditi 2026 yang berlangsung selama dua hari sehingga esok menghimpunkan lebih 10 usahawan yang mempamerkan dan menjual produk agrikomoditi, khususnya berasaskan kayu, koko, kenaf dan minyak sawit. - DagangNews.com

