
Permainan video Star Citizen Squadron 42 disahkan akan dilancarkan pada Q2 2027 oleh Cloud Imperium Games yang tersasar daripada perancangan asal dilancarkan pada tahun 2014. Permainan misi solo untuk Star Citizen ini sudah lama dinantikan kerana ia memaparkan lakonan mocap oleh pelakon terkemuka Mark Hamill, Gary Oldman, Gillian Anderson dan Andy Serkis.
Permainan Star Citizen sendiri diumumkan pada tahun 2012 dengan ia menjalani beberapa proses pertukaran enjin yang menyebabkan ia sudah dalam pembangunan selama lebih 10 tahun. Star Citizen memegang rekod permainan video paling mahal pernah dihasilkan kerana mengumpul dana lebih $1 bilion menerusi beberapa sesi biayasama dan penjualan kapal angkasa eksklusif.
Penyokong hanya diberikan akses kepada mod multi pemain Star Citizen dalam mod beta dengan ia dimainkan oleh hampir 40,000 pemain setiap hari walaupun belum lagi siap sepenuhnya. Apabila dilancarkan sepenuhnya kelak, ia akan menjadi MMO dengan sistem galaksi dan ekonomi yang berfungsi sepenuhnya yang boleh dimainkan berterusan.
