
Kota Kinabalu: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata partinya menyasarkan untuk sekurang-kurangnya menggandakan jumlah kerusi yang diwakilinya dalam Pilihan Raya Sabah akan datang.
Merujuk kepada prestasi cemerlang parti dalam pilihan raya lalu, beliau berkata Star memenangi enam daripada lapan kerusi yang ditandingi.
“Kami mempunyai prestasi tertinggi berbanding semua komponen. Jadi, kami layak untuk sekurang-kurangnya menggandakan jumlah itu,” katanya selepas sidang media sempena HyperLive Impact Influencer Festival and Awards 2025, di sini, Ahad.
Katanya, partinya sudah merangka strategi berhubung jumlah kerusi yang ingin ditandingi, namun agihan akhir masih tertakluk kepada perbincangan dengan rakan-rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Mengenai mesyuarat GRS yang sepatutnya membincangkan agihan kerusi pada Februari lalu tetapi ditangguhkan, Jeffrey berkata belum ada tarikh baharu ditetapkan. “Belum lagi, tetapi boleh bila-bila masa kerana kami sudah berpeluang untuk berhubung dan berbincang.
“Kami mahu mesyuarat itu menghasilkan keputusan yang jelas, bukan sekadar sesi berbual kosong,” katanya.
Beliau berkata partinya merancang untuk mempertahankan semua kerusi penyandangnya sambil menambah beberapa kawasan baharu ke dalam sasaran mereka.
Beliau juga berkata Star akan menampilkan muka baharu, termasuk calon wanita, sebagai sebahagian daripada strategi pilihan rayanya.
Pada Februari lalu, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan bahawa gabungan itu akan membincangkan agihan kerusi dalam mesyuarat majlis tertinggi.
Bagaimanapun, perbincangan tersebut ditangguhkan tanpa tarikh baharu.
Untuk rekod, GRS terdiri daripada lapan parti komponen, iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah dengan 26 ADUN, Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan tujuh ADUN, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dengan enam, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Harapan Rakyat Sabah masing-masing satu dan Parti Liberal Demokratik (LDP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), dan Parti Cinta Sabah (PCS), yang ketika ini tiada sebarang Adun.
Sementara itu, HyperLive Impact Influencer Festival and Awards 2025 menghimpunkan figura berpengaruh dari seluruh Asia bagi meraikan pemerkasaan digital dan kerjasama rentas budaya sambil menampilkan potensi Sabah sebagai destinasi antarabangsa.
“Saya rasa berbesar hati berada di sini untuk meraikan kuasa pengaruh, ketahanan, dan potensi tanpa batas dalam diri kita semua,” kata Jeffrey, sambil menambah, acara itu menjadi peringatan bahawa pengaruh sebenar bukan tentang kemasyhuran, tetapi bagaimana ia digunakan untuk mencipta perubahan positif.
Beliau memuji penganjur acara Dr Sean Wong atas komitmen mempromosikan pelancongan Sabah dan menarik pempengaruh terkenal dari China, Jepun, Vietnam, Indonesia, Filipina, Singapura, dan Malaysia,
Jeffrey juga berkata Sean menghadapi cabaran dalam penganjuran acara itu yang hanya dapat disusun dalam tiga hari akibat kelewatan kelulusan.
“Hari ini saya ingin menawarkan sokongan saya, rangkaian dengan saya supaya acara seterusnya dapat diuruskan dengan lebih cepat dan lancar,” katanya, memberi jaminan untuk membantu mengurangkan kerenah birokrasi dalam penganjuran acara akan datang.
Festival ini juga menampilkan persembahan empat pemain piano artistik bertaraf dunia yang mempunyai autisme, yang buat pertama kalinya tampil di Malaysia.
“Ini adalah bukti kekuatan daya tahan, kepercayaan terhadap potensi manusia, dan kepentingan inklusiviti,” kata Jeffrey, menyeru masyarakat untuk menyokong kesedaran mengenai autisme dan menyediakan lebih banyak peluang kepada individu dari semua latar belakang.
Beliau juga berkongsi pandangannya tentang potensi pembelajaran dari negara jiran, dengan menyatakan bahawa Sabah boleh belajar banyak dari Vietnam, serta mengakui kejayaan Singapura sebagai kuasa ekonomi global meskipun bersaiz kecil.
Beliau mengakui bahawa walaupun dengan kedudukan strategik Sabah, negeri masih tertinggal dalam aspek kesalinghubungan.
“Saya faham kita hampir terasing, dari segi kesalinghubungan, kita masih jauh ketinggalan,” katanya, sambil menekankan kepentingan acara seperti festival ini bagi menjadikan Sabah lebih dikenali di peringkat antarabangsa.
“Sabah mempunyai ramai bakat, jadi usaha seperti yang dilakukan oleh Sean patut disokong agar bakat-bakat ini dapat diketengahkan ke peringkat global.
“Mari kita terus menyokong satu sama lain, menginspirasi perubahan, dan bekerjasama untuk menjadikan Sabah sebagai hab global bagi budaya, bakat dan peluang,” katanya.
